Selangor perluas kempen cegah keganasan sepanjang tahun


Kerajaan Negeri Selangor terus komitmen melaksana advokasi pencegahan terhadap keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Exco kebajikan masyarakat Anfaal Saari (gambar) memaklumkan, usaha advokasi yang mula dilaksana sejak tahun lalu itu akan diperluas sepanjang tahun dan tidak lagi terhad kepada tempoh kempen antarabangsa tahunan yang diraikan setiap 25 November hingga 10 Disember.
Langkah tersebut jelasnya bagi memastikan mesej pencegahan disampaikan secara berterusan, sekali gus memberi impak lebih tinggi kepada kelompok sasaran.
"Populasi Selangor tinggi menyebabkan kita terima kes keganasan terhadap wanita yang banyak. Kalau dahulu setiap tahun bermula 25 November hingga 10 Disember, kita buat 16 hari menolak keganasan.
"Namun bermula tahun lepas, saya minta kempen ini dilaksana sepanjang tahun. Jadi kesedaran ini bukan hanya pada tarikh tertentu tapi dilaksana setiap masa.
"Polis merupakan antara rakan kerjasama dan advokasi ini diluaskan kepada orang awam, mahasiswa dan pelbagai lagi sektor. Kita mahu mendidik masyarakat mengenai langkah yang boleh diambil mangsa untuk melindungi diri," katanya dipetik laporan media.
Beliau sementara itu menjelaskan, usaha mencegah keganasan berasaskan gender turut diterapkan dalam pelbagai program negeri, termasuk Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 yang dilaksanakan di setiap daerah.
"Menerusi siri ini, kita sampaikan pesanan anti keganasan secara kreatif. Kita buat wacana, persembahan teater selain gerakkan penyelia Pusat Wanita Berdaya dengan objektif mengelakkan wanita dizalimi," katanya.




Comments