top of page

Selangor negeri pertama di Malaysia ekonomi hampiri RM500 bilion

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

Selangor mengukuhkan kedudukannya sebagai enjin utama Malaysia selepas nilai ekonominya mencecah RM460.1 bilion pada 2025, menyumbang 26.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan mencatat pertumbuhan yang mengatasi purata nasional.


Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diumumkan semalam, nilai ekonomi Selangor meningkat RM28 bilion berbanding tahun sebelumnya, dengan kadar pertumbuhan 6.3%, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2%.


Pencapaian itu turut melepasi unjuran terdahulu oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Selangor Research Institute (SRI) yang menganggarkan ekonomi negeri itu berkembang kepada sekitar RM455.3 bilion pada tahun lalu.


"Prestasi ini sekali gus meningkatkan sumbangan Selangor kepada KDNK Malaysia daripada 26.2% kepada 26.5%," kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Amirudin Shari
Datuk Seri Amirudin Shari

Beliau berkata saiz ekonomi Selangor kini adalah 1.7 kali lebih besar daripada Kuala Lumpur dan 2.7 kali berbanding Johor, sekali gus mengekalkan jurang sebagai ekonomi negeri terbesar di Malaysia.


Menurut Amirudin, pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun 2025 dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang menyumbang pertambahan nilai sebanyak RM15.9 bilion, diikuti sektor pembuatan (RM5.3 bilion) dan pembinaan (RM3.7 bilion).


Beliau berkata Selangor kini menyumbang 35.9% aktiviti pembinaan negara, selain menguasai 32.8% sektor pembuatan dan 27.1% aktiviti perkhidmatan di peringkat nasional.


Amirudin mengaitkan prestasi tersebut dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelan pembangunan lima tahun negeri dari 2021 hingga 2025.


Sepanjang tempoh pelaksanaan RS-1, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 33.94% dengan nilai ekonomi meningkat daripada RM343.5 bilion sebelum pelan itu dilaksanakan kepada RM460.1 bilion pada 2025.


Menurut beliau, pencapaian itu bukan sahaja didorong oleh dasar kerajaan negeri malah hasil penyertaan sektor swasta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelabur, tenaga kerja mahir serta pelbagai inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan seperti PLATS, JobCare dan IC Design Park.


Amirudin berkata Selangor kini memberi tumpuan untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencapai nilai ekonomi RM500 bilion.


“Selangor tidak boleh leka tetapi harus mengambil cabaran untuk menjadi negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion,” kata Amirudin.


Beliau menegaskan pertumbuhan masa hadapan perlu disertai peningkatan produktiviti merentas sektor awam dan swasta, serta memastikan kemajuan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.


“Melangkah ke hadapan, pentadbiran ini akan memberikan tumpuan kepada agenda kemampuan hidup rakyat agar kemajuan ekonomi negeri dapat terus memberikan perubahan positif kepada kualiti hidup rakyat,” katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page