top of page

Selangor mulakan sarapan percuma di sekolah bermula Ogos - MB

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan Selangor akan melancarkan program sarapan percuma kepada kira-kira 120,000 pelajar di sebanyak hampir 1,000 buah sekolah di seluruh negeri ini bermula Ogos.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata pelajar terbabit bakal menikmati makanan dua hingga tiga kali seminggu bagi mengurangkan beban keluarga memerlukan.


"Bermula Ogos ini, Selangor melancarkan program sarapan percuma kepada kira-kira 120,000 pelajar di 965 sekolah merangkumi sekolah rendah, menengah, sekolah agama JAIS serta institusi berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.


"Dua hingga tiga kali seminggu, pelajar yang dikenal pasti melalui data JPN Selangor akan menerima sarapan bagi mengurangkan beban keluarga yang memerlukan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Amirudin menjelaskan negara maju seperti Finland dan United Kingdom telah lama membuktikan sarapan percuma bukanlah pembaziran sebaliknya pelaburan.


"India memperkenalkannya pada 2022 dan menyaksikan peningkatan kehadiran serta penurunan keciciran pelajar secara ketara," ujarnya.


Beliau berkata Selangor sedang melangkah ke arah yang sama dengan menjadikan sekolah bukan setakat tempat belajar selesa malah tempat yang menjamin kesejahteraan setiap kanak-kanak.


"Penerima pun sudah dikenal pasti. Mekanisme hampir sama dengan Rancangan Makanan Tambahan yang telah lama berjalan.


"Yang paling penting, ini antara usaha Kerajaan Negeri Selangor membantu ibu bapa akibat krisis Asia Barat yang melanda," katanya.


Inisiatif sarapan percuma tersebut merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada April 2026.


Ia sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik yang menjejaskan harga tenaga, rantaian bekalan dan kos sara hidup.


Pakej ini bertujuan memastikan ekonomi negeri kekal berdaya tahan di samping melindungi kebajikan rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaan.


Fasa pertama melibatkan peruntukan RM130.42 juta yang memberi tumpuan kepada bantuan segera untuk rakyat menerusi inisiatif seperti Jualan Ehsan Rahmah, Baucar Kita Selangor, subsidi pengangkutan awam, program sarapan percuma sekolah serta usaha memperkukuh keterjaminan bekalan makanan.


Pendekatan ini bertujuan mengurangkan tekanan kos sara hidup dan mengawal impak inflasi terhadap isi rumah.


Susulan krisis yang berterusan, kerajaan negeri memperkenalkan Fasa 2 pada Jun 2026 dengan tambahan peruntukan RM209.26 juta melibatkan 15 inisiatif baharu.


Fasa ini memberi penekanan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi jangka panjang melalui sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kemudahan pembiayaan, pembangunan modal insan serta pelaburan dalam teknologi dan kemahiran masa depan, menjadikan keseluruhan pakej bernilai lebih RM339 juta.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page