top of page

Selangor mulakan projek rintis pusat jagaan warga emas, OKU

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 18 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Selangor dijangka melaksana projek perintis bagi pembangunan pusat kesejahteraan penjagaan sementara warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pada suku keempat tahun ini.


Exco kebajikan masyarakat negeri, Anfaal Saari (gambar) berkata, pusat berkenaan dirancang berasaskan konsep tanggungjawab bersama dan kerjasama merentas sektor bagi menggabungkan sumber serta kepakaran pelbagai pihak.


Pentadbiran negeri turut mempertimbang bagi memperluas pusat berkenaan secara berperingkat ke kawasan lain jika projek perintis itu berkesan dan menerima sambutan positif.


"Pelbagai model pembiayaan diteliti termasuk menerusi peruntukan kerajaan, kerjasama awam-swasta, sumbangan kebajikan serta sokongan rakan strategik dalam bidang berkaitan. Pusat tersebut juga berkemungkinan melibatkan NGO dan organisasi kebajikan berdaftar sebagai rakan pelaksana di peringkat komuniti.


"Matlamat Kerajaan Negeri adalah membangunkan model yang mampan dan tidak bergantung kepada bantuan sekali beri semata-mata, sebaliknya mampu beroperasi secara berterusan untuk memberi manfaat jangka panjang kepada warga emas dan penjaga.


"Ini selaras Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang menekankan tanggungjawab penjagaan bukan hanya dipikul keluarga atau kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan sektor awam, swasta, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NG0), yayasan dan badan kebajikan," katanya dipetik Media Selangor.


Selangor merupakan negeri pertama memperkenal Dasar Ekonomi Penjagaan bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan penjagaan warga emas dan menghadapi cabaran masyarakat menua.


Tiga daerah di negeri ini iaitu Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat merekodkan kadar penduduk warga emas tertinggi.


Sementara itu menurut Anfaal, pemilihan lokasi pusat berkenaan akan mengambil kira beberapa faktor termasuk kepadatan penduduk, kadar penuaan populasi, akses kemudahan kesihatan serta keperluan kawasan bandar dan luar bandar.


Anfaal berkata pihaknya turut meneliti kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjadikan pusat itu salah satu perkhidmatan nilai tambah di pusat kesihatan klinik kerajaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page