Selangor lonjak ekonomi wanita menerusi Usahanita Digital 2026
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komitmen membangun ekonomi rakyat di negeri itu termasuk membabitkan golongan usahawan wanita.
Sehubungan itu, seramai 117 usahawan wanita di negeri itu terpilih menyertai Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda (Usahanita Digital) bagi kohort ketiga untuk tahun 2026.
Exco Pembangunan Wanita, Anfaal Saari (gambar) berkata, pengajuran program kali ini juga buat pertama kalinya memperkenal modul eksport yang dilaksana dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ia bukan sekadar menawarkan latihan tetapi membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk membina keyakinan, menguasai teknologi digital dan membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
"Potensi pasaran bukan sahaja dalam negara, tetapi juga ke luar. Apabila kita teroka peluang kerjasama bersama Matrade dan SME Corp, kita melihat wujudnya satu peluang iaitu modul eksport.
"Saya kira ini adalah satu usaha untuk ke peringkat global. Bukan sahaja melatih usahawan wanita Selangor yang mempunyai produk, tetapi juga dari segi sistem pengurusan dan pemasaran secara digital," katanya dipetik laporan media tempatan.
Anfaal ditemui pemberita pada majlis perasmian Usahanita Digital 2026 di Dewan Jubli Perak di Shah Alam pada Selasa.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad.
Majlis turut memperkenalkan rakan kolaborasi strategik iaitu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), SME Corporation Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
Usahanita Digital yang diperkenalkan pada 2024 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan usahawan wanita melalui keupayaan digital serta pembangunan kapasiti perniagaan.
