Selangor komited bina ekosistem ilmu inklusif, moden, berdaya saing
- Suara Keadilan

- Aug 23
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Selangor menegaskan komitmen untuk membina ekosistem ilmu yang inklusif, moden dan berdaya saing, menjadikan perpustakaan bukan sahaja sebagai gudang buku, tetapi juga pusat inovasi dan pembangunan masyarakat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu selari dengan aspirasi negeri dalam memperkukuh budaya ilmu serta memperkasa masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat.
"Melalui jaringan antarabangsa, Selangor berpeluang mempelajari amalan terbaik dunia dalam pengurusan perpustakaan digital, literasi maklumat dan strategi menjadikan perpustakaan sebagai pusat inovasi yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Amirudin berkata begitu selepas menghadiri Majlis Penutup IFLA World Library and Information Congress (WLIC) 2025 yang berlangsung di Astana, Kazakhstan pada Jumaat.
Kongres itu menghimpunkan ribuan peserta terdiri daripada pakar, pustakawan, akademik serta pembuat dasar dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan perpustakaan dan keterhubungan masyarakat dengan sumber maklumat.
Pada acara itu, kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Grace Anak Dingin, mengharumkan nama negara apabila memenangi kategori Viewers’ Choice bagi IFLA Poster 2025 melalui inisiatif “Healing through Urban Farming”.
"Tahniah diucapkan atas pencapaian Grace Anak Dingin. Kejayaan ini yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
"Sebagai negeri yang menitikberatkan budaya ilmu, penyertaan Selangor melalui PPAS yang dipimpin oleh Datin Paduka Mastura Hj Muhamad, memberi makna besar dalam usaha memperkukuh jaringan global dan memperkenalkan inisiatif perpustakaan negeri kita di peringkat dunia," tambahnya.









Comments