Selangor komited bantu usahawan PKS perluas pasaran eksport
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited membantu memperluas peluang pemasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu ke pasaran luar negara.
Exco Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi (gambar) berkata Kerajaan Negeri akan memanfaatkan jaringan antarabangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi membantu usahawan menembusi pasaran bernilai lebih tinggi.
Langkah itu jelasnya termasuk membawa usahawan berpotensi yang menghasilkan produk berkualiti ke China dan Jepun sekitar September atau Oktober ini.
"Kita sudah mempunyai kisah kejayaan menerusi program seumpama ini termasuk usahawan Selangor yang berjaya menjual produk minyak wangi mereka ke hotel dan premis peruncitan di Jepun," katanya dipetik laporan media.
Mohd Najwan ditemui pemberita selepas program BizMatch Mega PKNS di Shah Alam pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik sementara itu berkata, usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan turut dilaksanakan menerusi padanan perniagaan, latihan, bimbingan serta kursus oleh Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS.
Kerajaan Negeri turut mempertimbang untuk menghidupkan semula program keusahawanan di peringkat daerah selepas pendekatan lebih berpusat dilaksanakan tahun ini.
Sementara itu sebagai mengulas program BizMatch Mega beliau menjelaskan, ia membuka peluang kepada lebih 1,000 usahawan Selangor bertemu wakil agensi kerajaan, bank, pembiaya serta agensi Persekutuan antaranya SME Corp dan MARA.
Program yang dilaksanakan PKNS sejak 2023 itu membolehkan usahawan meneroka pembiayaan, insentif dan geran yang tersedia tanpa perlu pergi kepada setiap agensi secara berasingan.




Comments