Selangor komited bantu petani, nelayan hadapi bahan api krisis global
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Langkah bersasar yang bakal diumumkan Kerajaan Negeri untuk menangani kesan ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat tidak akan mengetepikan golongan petani dan nelayan di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, kedua-dua golongan itu perlu terus diberi perhatian kerana turut memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi negeri.
"Kerajaan Negeri kini sedang bekerja keras meneliti perkembangan berlaku. Sememangnya kita berdepan tekanan, tetapi Selangor telah mula merancang untuk mendepani cabaran ini.
"Saya sudah bertemu pimpinan utama dan mula merancang bentuk sokongan termasuk untuk petani, nelayan serta penggerak ekonomi utama di Sabak Bernam.
"Selain menumpukan bantuan, fokus kita adalah mengekalkan pekerjaan sektor-sektor yang ada biarpun berdepan krisis," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu menerusi ucapan di Majlis Tautan Kasih D’ Desa yang berlangsung di Dewan Sri Nakhoda, Sungai Air Tawar
Sementara itu tambahnya, Kerajaan Negeri bakal memfokuskan industri tenaga hijau sebagai penyelesaian jangka masa panjang sekaligus mengurangkan kadar kebergantungan dengan bekalan tenaga pada masa hadapan.
Pada masa sama, Amirudin menasihatkan supaya masyarakat tidak panik berikutan bekalan makanan di Selangor mencukupi meskipun berdepan dengan krisis.
Dalam masa sama masyarakat diingatkan supaya terus bersatu hati dan bekerjasama dalam mendepani cabaran selain tidak menyalahkan orang lain.
"Saya sedang memantau bekalan makanan dan beras untuk disiapkan. Setakat ini, bekalan makanan di Selangor mencukupi dan gudang makanan diusahakan dua tahun lalu mampu menampung dalam tempoh tiga bulan.
"Ini bukan masanya berpecah belah, bersatu hati dan mempertahankan kehidupan. Setiap langkah bakal dilaksana merupakan pandangan diambil semua pihak dan Kerajaan Negeri akan terus bantu," ujarnya.




Comments