top of page

Selangor, KL setuju laksana lima tindakan tangani banjir

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 16 minutes ago
  • 2 min read
DS Amirudin dan Hannah Yeoh mengendalikan mesyuarat bersama menangani banjir di Selangor dan KL
DS Amirudin dan Hannah Yeoh mengendalikan mesyuarat bersama menangani banjir di Selangor dan KL

Kerajaan Selangor dan Persekutuan bersetuju melaksanakan lima langkah utama bagi mengurangkan risiko banjir di Kuala Lumpur dan Selangor.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata persetujuan meliputi pengurusan tanah, peningkatan kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan bandar mampan serta sistem saliran bagi memastikan pengurusan banjir dilaksanakan secara lebih tersusun serta bersepadu.


"Kerajaan Selangor dan Jabatan Wilayah Persekutuan akan meneruskan penyelarasan bersama agensi teknikal berkaitan bagi memastikan pengurusan banjir, pembangunan bandar dan perlindungan ruang hijau dirancang secara seimbang dan mampan.


"Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah untuk mengurangkan risiko banjir, mengukuhkan daya tahan bandar, mengurangkan keresahan penduduk Kuala Lumpur dan Selangor ketika musim hujan melalui perancangan yang lebih tersusun dan bersepadu," jelas mereka dalam satu kenyataan bersama.


Bagi memperincikan pelaksanaan, satu mesyuarat teknikal bakal diadakan dalam tempoh dua minggu untuk menentukan lokasi, skop projek, kos, sumber pembiayaan, serta kaedah pelaksanaan.


Seterusnya satu kajian kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gates akan dilaksana bagi menentukan sama ada kedua-dua empangan itu mampu memenuhi keperluan pengurusan air untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.


Kedua-dua pihak juga bakal mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan hulu sungai untuk pembinaan kolam takungan banjir baharu, termasuk di Selangor dengan penilaian akan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah serta kesan terhadap alam sekitar dan komuniti.


"Langkah keempat menyaksikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti tiga kolam sedia ada untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan, iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong.


"Bagi kolam di Bukit Lagong, kawasan berkenaan terletak dalam hutan simpan yang perlu dinyahwartakan bagi membolehkan ia digunakan sebagai kolam takungan


"Langkah kelima ialah menyelaras kerja pengorekan dan pembuangan mendapan sungai di Kuala Lumpur serta Selangor yang memerlukan tindakan," tambah kenyataan tersebut.


Kenyataan turut menegaskan, langkah komprehensif itu penting bagi melindungi penempatan 30 peratus rakyat Malaysia itu, sekali gus menjamin kelangsungan kawasan yang menyumbang 41.7 peratus kepada ekonomi negara itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page