top of page

Selangor kembalikan bantuan Sekolah Agama Rakyat yang pernah ditarik

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • Apr 26
  • 2 min read

Pelbagai bantuan persekolahan dan kebajikan pendidikan di Selangor terus dilaksanakan secara konsisten, sekali gus menjadi bukti kerajaan sedia ada mampu mentadbir dengan berkesan tanpa perlu pertukaran pentadbiran.


Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Danish Hairudin (gambar) berkata, komitmen terhadap sektor pendidikan termasuk sekolah agama rakyat telah diperkukuh selepas sekian lama tidak diberi perhatian sewajarnya.


"Selepas berpuluh tahun, kita telah kembalikan semula bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat yang sebelum ini tidak mendapat perhatian mencukupi. Ini semestinya untuk kembalikan pendidikan anak-anak kita, khususnya dalam memahami syariah dan asas agama.


"Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada Sekolah Agama Rakyat, dengan keseluruhan komitmen mencecah hampir RM1.9 bilion untuk memperkukuh pendidikan," kata Danish dalam ceramah isu semasa Pakatan Harapan Selangor Parlimen Gombak di Sungai Tua, semalam.


Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan pendidikan agama terus diperkasa dan relevan dalam membentuk generasi masa depan dan usaha itu membuktikan Kerajaan Negeri bukan sahaja menumpukan pembangunan fizikal, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan insan.


"Adakah ini boleh dikatakan kita gagal membela pendidikan dan agama? Sudah tentu tidak," tegasnya.


Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga memastikan bantuan pendidikan disalurkan secara inklusif tanpa mengira kaum atau jenis sekolah mencerminkan dasar kerajaan yang adil dan menyeluruh dalam membangunkan sektor pendidikan.


"Sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, semuanya menerima bantuan yang sewajarnya. Ini adalah kerajaan yang melaksanakan dasar untuk semua, bukan untuk satu kelompok sahaja," ujarnya.


Dalam masa sama, beliau berkata bantuan kepada usahawan dan sektor ekonomi turut disediakan bagi menyokong kesejahteraan rakyat secara keseluruhan dan kesinambungan dasar ini hanya boleh dicapai jika kerajaan sedia ada terus diberi mandat.


"Kita juga menyediakan peruntukan kepada usahawan agar ekonomi rakyat terus berkembang. Program-program ini tidak datang secara tiba-tiba, tetapi hasil perancangan dan kesinambungan dasar yang konsisten," katanya.


Menurutnya, pertukaran kerajaan berisiko menjejaskan pelaksanaan program yang telah memberi manfaat kepada rakyat.


"Kalau kita tukar kerajaan, belum tentu program ini diteruskan dengan komitmen yang sama. Kita sudah buktikan melalui tindakan dan pelaksanaan, bukan sekadar retorik," katanya.


Dalam pada itu, beliau menyentuh isu kos sara hidup dan bekalan tenaga yang masih terkawal di Malaysia berbanding negara lain dan keadaan itu menunjukkan keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi secara berhemah.


"Walaupun negara jiran berdepan kekangan, kita masih mampu mengurus bekalan dengan baik. Kita perlu faham dan dapatkan maklumat yang tepat, bukan terpengaruh dengan persepsi yang tidak benar.


"Dengan sokongan berterusan, kita boleh pastikan segala bantuan ini kekal dan diperkasa," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page