top of page

Selangor kekal penarafan AAA, rizab RM3.6 bilion - MB

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Aug 11
2 min read

Selangor sekali lagi mengekalkan penarafan kredit AAA dengan prospek stabil daripada MARC Ratings dengan disokong kekuatan ekonomi negeri, pengurusan fiskal berhemah, rizab kewangan kukuh serta paras hutang yang rendah.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata AAA merupakan penarafan kredit tertinggi dan pencapaian itu mencerminkan kekuatan asas ekonomi serta keupayaan Selangor mengurus kewangannya secara berdisiplin.


"Alhamdulillah, Selangor sekali lagi mengekalkan penarafan AAA dengan tinjauan stabil, iaitu penarafan kredit tertinggi yang mencerminkan kekuatan asas ekonomi negeri, pengurusan fiskal yang berhemah, paras hutang yang rendah serta kedudukan rizab kewangan yang kukuh," katanya menerusi hantaran di media sosial.


Amirudin berkata MARC Ratings merupakan agensi penarafan kredit bebas yang menilai kekuatan kewangan serta keupayaan sesebuah kerajaan atau organisasi memenuhi komitmen kewangannya.


Berdasarkan infografik yang beliau kongsikan, Selangor merekodkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM460.1 bilion pada 2025, sekali gus menyumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara dan kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi Malaysia.


Ekonomi negeri itu turut mencatatkan pertumbuhan KDNK 6.3 peratus, mengatasi pertumbuhan Malaysia sebanyak 5.2 peratus.


Pada masa sama, kedudukan kewangan Selangor disokong rizab negeri sebanyak RM3.6 bilion, yang menurut infografik berkenaan bersamaan 143.3 peratus daripada perbelanjaan tahunan.


Selangor juga mempunyai paras hutang yang rendah iaitu hanya RM19.1 juta yang dinyatakan sebagai antara kedudukan hutang terendah di Malaysia.


Menurut infografik itu, penarafan AAA berkenaan bukan sahaja memberi gambaran mengenai kedudukan kewangan kerajaan negeri malah berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur serta membantu merendahkan kos pembiayaan bagi pinjaman dan sukuk agensi negeri.


Penarafan tinggi itu juga dilihat mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi positif apabila pengurusan kewangan berdisiplin menyokong penarafan kredit, menarik pelaburan dan seterusnya merancakkan ekonomi rakyat.


Amirudin berkata kekuatan ekonomi berkenaan akan terus dimanfaatkan untuk memperkukuh industri serta menarik pelaburan berkualiti bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan.


"Dengan nilai ekonomi mencecah RM460.1 bilion dan menyumbang 26.5% terhadap KDNK negara, Selangor terus memperkukuh industri di dalam negeri serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dalam tujuan memacu pembangunan yang mampan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page