top of page

Selangor hampiri rekod dua tahun tanpa gangguan air kritikal

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
9 minutes ago
2 min read
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari

Alhamdulillah, tahun ini masuk tahun kedua. Kita harap kita masuk bulan 12, harapnya tidak berlakulah - Amirudin

Selangor menghampiri pencapaian dua tahun berturut-turut tanpa gangguan bekalan air kritikal akibat pencemaran sungai.


Setakat November lalu, tiada gangguan bekalan air kritikal berpunca daripada pencemaran sungai direkodkan berlaku di negeri berkenaan.


"Alhamdulillah, tahun ini masuk tahun kedua. Kita harap kita masuk bulan 12, harapnya tidak berlakulah," katanya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dipetik.


Beliau berkata begitu pada sidang media selepas merasmikan Karnival Wira Air Peringkat Negeri Selangor di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya.


Sementara itu menurut Amirudin, Negeri Selangor pada tahun lalu mencatat sejarah apabila buat kali pertama berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kritikal akibat pencemaran sungai sepanjang tahun.

Menurutnya, meskipun terdapat insiden pencemaran yang mencetuskan amaran tahap kuning, keadaan itu berjaya ditangani tanpa mencapai tahap merah yang memerlukan penutupan operasi loji rawatan air.


"Walaupun berlaku amaran tahap kuning, kita berjaya alihkan air tersebut daripada mengganggu ataupun memberi kesan kepada bekalan air ataupun pemprosesan air," tambahnya.


Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) sejak 28 Oktober 2020 dengan kos RM320 juta.


Skim tersebut bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi dan berkualiti, terutama ketika berlaku pencemaran sungai atau kemarau.


Fasa pertama projek itu yang siap sepenuhnya pada 13 Mei 2025 membabitkan empat pakej meliputi sistem pengepaman dan lencongan sungai di Kuala Selangor serta Semenyih bagi mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran.


Untuk rekod, perkhidmatan air Selangor pernah dikecam oleh parti lawan beberapa tahun lalu apabila henti tugas loji rawatan berlaku hampir setiap bulan akibat pencemaran sumber air berpunca dari kawasan industri di sekitar beberapa batang sungai utama, termasuk sungai yang mengalir dari Negeri Sembilan.


Sebahagian daripada pencemaran tersebut pernah dikaitkan dengan teori sabotaj oleh sesetengah pihak bagi menaikkan kemarahan pengguna air Selangor menjelang pilihan raya bagi percubaan menukar kerajaan negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page