top of page

Kerajaan tingkatkan takungan Empangan Pedu sebelum El Nino

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
13 minutes ago
1 min read
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu

Usaha sedang digerakkan untuk meningkatkan paras air Empangan Pedu di Kedah sebagai persediaan bekalan air sawah jika fenomena El Nino melanda dari hujung Disember ini hingga April depan.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu penting bagi memastikan aktiviti penanaman padi, khususnya di kawasan utara Semenanjung tidak terjejas akibat kekurangan bekalan air.


"Ketika ini, paras air di Empangan Pedu berada pada tahap baik, namun kami mahu meningkatkan lagi takungan supaya bekalan air mencukupi untuk pengairan sawah, sekiranya tiada hujan dari Disember hingga April.


"Sebab itu, dua hari lepas saya berada di Empangan Pedu untuk memastikan usaha meningkatkan takungan air dapat dilaksanakan," katanya dipetik laporan media.


Mohamad ditemui selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI Mega @ Medan Niaga Satok 2026 di Sarawak.


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan cuaca panas dijangka melanda beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.


"Hujan di Malaysia bukanlah sesuatu yang luar biasa... musim tengkujuh pula sudah menjadi perkara biasa yang kita hadapi setiap tahun, tetapi fenomena El Nino adalah keadaan yang agak baharu dan memerlukan persediaan yang berbeza kerana kesannya masih sukar dijangka.


"Insya-Allah, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh berdasarkan pengalaman lepas. Namun, fenomena El Nino memerlukan pendekatan dan langkah persediaan yang sedikit berbeza," katanya.


Sementara itu Mohamad turut mengingatkan semua pihak termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda memastikan jadual penanaman padi dipatuhi bagi mengelakkan kekurangan bekalan air ketika tanaman sedang membesar, khususnya jika berlaku tempoh cuaca kering berpanjangan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page