Selangor fokus keseimbangan emosi dalam silibus penjagaan baharu
- Suara Keadilan

- Apr 2
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor dalam proses untuk membangunkan silibus rintis modul penjagaan yang merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi dalam usahanya memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari (gambar) berkata, silibus tersebut akan mengambil pendekatan holistik supaya penjagaan tidak sekadar tertumpu aspek kesihatan fizikal, sebaliknya turut menitikberatkan keseimbangan mental dan emosi.
Menurutnya, modul tersebut akan didigitalisasikan bagi membolehkan akses lebih meluas kepada orang ramai serta memudahkan penyampaian maklumat secara fleksibel.
"Pembangunan silibus ini masih di peringkat awal dan akan melalui beberapa fasa penambahbaikan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
"Kerajaan Negeri menyasarkan modul penjagaan ini dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini bagi memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat," katanya dipetik.
Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer sementara itu memaklumkan, pembangunan modul tersebut turut melibatkan kerjasama Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Selangor (UNISEL), termasuk usaha mewujudkan kursus khusus berkaitan penjagaan.
Sebagai rekod, Kerajaan Negeri melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan sebagai langkah menghadapi situasi populasi makin menua menjelang 2030.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika melancarkan dasar itu pada 2024 berkata, ia akan berteras lima perkara itu mengambil kira aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kelainan upaya dan pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal serta tidak formal.




Comments