Selangor diiktiraf model bandar penyayang di rantau Asia Pasifik
- Suara Keadilan

- 20 hours ago
- 1 min read

Usaha Kerajaan Selangor memperkenal dasar ekonomi penjagaan telah meletakkan Selangor sebagai antara model ‘Caring Cities’ (Bandar Penyayang) di rantau Asia Pasifik.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari (gambar) berkata, pengiktirafan diberikan UN Women kepada dasar diperkenal menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu membuktikan ekonomi penjagaan bukan lagi sektor kebajikan semata-mata, sebaliknya mempunyai nilai ekonomi yang besar.
"UN Women sendiri mengiktiraf Selangor sebagai antara contoh Bandar Penyayang di Asia Pasifik kerana melaksanakan model Care Diamond.
"Model Care Diamond menggalakkan perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, sektor swasta, keluarga dan komuniti dalam aspek penjagaan kanak-kanak, warga emas, individu sakit serta pengurusan rumah tangga.
"Kita mengetengahkan pendekatan bahawa penjaga juga perlu dijaga dan dimartabatkan. Ekonomi penjagaan bukan lagi sekadar kerja kebajikan, tetapi sektor perkhidmatan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri," kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer itu dipetik laporan media.
Beliau turut menjelaskan, kejayaan Selangor mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan masyarakat tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan turut meletakkan Selangor sebagai pusat rujukan di peringkat antarabangsa.
"Pembangunan sektor ekonomi penjagaan bukan sahaja memperkasakan golongan wanita, malah memberi impak positif kepada ekonomi negeri menerusi peningkatan penyertaan tenaga kerja dan pengiktirafan terhadap peranan penjaga dalam masyarakat," tambahnya.




Comments