Selangor desak hukuman maksimum kes pemandu mabuk, dadah
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor mendesak siasatan telus serta hukuman maksimum dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kematian tragis seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, pada Ahad.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata kejadian yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar, 32, itu berpunca dari pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah mendesak agar tindakan lebih tegas diambil bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.
"Mangsa, seorang bapa kepada tiga orang anak maut dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Demi keadilan, hukuman paling maksimum perlu dijatuhkan agar menjadi pengajaran kepada semua.
"Kami mendoakan roh Allahyarham dicucuri serta pemergiannya akan dibela melalui proses pengadilan sewajarnya," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) itu dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu tegasnya, sikap mementingkan diri serta tidak menghargai nyawa orang lain di atas jalan raya adalah perlakuan yang tidak boleh diberikan kemaafan mudah atas apa juga alasan.
"Pesalah wajar dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," tambahnya.
Media melaporkan suspek lelaki berusia 20-an direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut, dengan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat di Mahkamah Majistret Klang.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan komitmen pentadbiran negeri memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara, selain menyokong tindakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pelanggaran undang-undang yang boleh meragut nyawa.




Comments