Selangor berjimat RM230 juta, salur semula kepada rakyat
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor menyasarkan penjimatan kira-kira RM230 juta tahun ini menerusi pengurangan perbelanjaan tidak kritikal seperti lawatan ke luar negara dan program permukiman.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, pihaknya mensasarkan sebanyak RM93 juta dijana melalui pengoptimuman perbelanjaan mengurus manakala RM137 juta lagi hasil penjimatan dalam perbelanjaan pembangunan.
Hasil penjimatan tersebut jelasnya akan disalur semula kepada rakyat negeri itu menerusi bantuan kewangan untuk rakyat melalui pakej rangsangan yang diperkenalkan.
"Kita tidak akan mengurangkan perbelanjaan yang melibatkan kebajikan rakyat. Fokus kita adalah kepada perbelanjaan berkaitan projek, khususnya yang masih berada pada peringkat awal.
"Bagi sesetengah projek seperti yang melibatkan aspek seni bina, perancangan dan reka bentuk, kita mungkin perlu menangguhkannya sementara waktu atau membuat keputusan sama ada ia perlu diteruskan terlebih dahulu," katanya dipetik media tempatan.
Amirudin berkata begitu ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (SREP) Fasa 2 di Dewan Negeri Selangor pada Selasa.
Sebagai rekod, Kerajaan Selangor memperuntuk RM355.06 juta bagi melaksanakan dua fasa Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor untuk mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat meliputi RM145.8 juta bagi Fasa 1 dan RM209.26 juta bagi Fasa 2.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor tersebut merupakan langkah intervensi untuk melegakan komuniti, masyarakat dan industri ditengah konflik berterusan di Asia Barat yang mencetus krisis bekalan tenaga global.




Comments