top of page

Selangor belanja RM32.53 juta laksana Skim Mesra setakat 30 September

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read
Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari di Sidang DUN. Foto kredit: The Star
Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari di Sidang DUN. Foto kredit: The Star

Kerajaan Selangor telah membelanjakan sejumlah RM32.53 juta setakat 30 September lalu bagi melaksanakan program Skim Mesra yang merangkumi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).


Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, angka perbelanjaan daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM55 juta itu dijangka terus meningkat sehingga penghujung tahun ini


"Sehingga 30 September lalu, RM32.53 juta telah dibelanjakan, bersamaan 59.14 peratus perbelanjaan. Agihan baucar kepada penerima Oktober hingga Disember belum dilaksanakan setakat tarikh pelaporan tersebut.


"Bagi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), sebanyak RM70.83 juta telah dibelanjakan. Perbelanjaan dijangka terus meningkat susulan pembukaan permohonan BINGKAS 3.0 yang baharu dilancarkan.


"Di bawah Iltizam Anak Istimewa Selangor (ANIS), Kerajaan Negeri telah mengagihkan RM630,661.25 bagi pelaksanaan Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) sehingga 31 Oktober lalu," katanya pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Anfaal sementara itu memaklumkan, sebanyak 51,004 permohonan Skim Mesra termasuk kategori orang kurang upaya (OKU) sudah diterima dengan 24,310 permohonan diluluskan, 833 permohonan ditolak dan 25,861 permohonan masih dalam proses.


"Bagi BINGKAS pula, tiada pembukaan permohonan baharu sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, bagaimanapun, semakan dan kelulusan permohonan sedia ada masih diteruskan pusat khidmat masyarakat tertakluk kepada kekosongan kuota.


"Sehingga 30 September, seramai 20,333 penerima aktif direkodkan di bawah Program BINGKAS, manakala 14,320 permohonan masih dalam proses dan 20,508 permohonan telah ditolak.


"Dibawah ANIS pula, jumlah permohonan yang diterima bagi permohonan program BRAIS adalah sebanyak 4,096 permohonan. Sehingga 31 Oktober lalu 713 permohonan telah diluluskan dan 1,612 permohonan ditolak dengan baki permohonan 1,771 telah disemak dan sedang menunggu kelulusan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page