Kepentingan politik Umno tidak wajar belakangi institusi adat N Sembilan


Kemelut politik di Negeri Sembilan tidak sepatutnya melibatkan institusi adat negeri itu sebagai medan menyelesaikan kepentingan politik mana-mana parti.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan Umno mengumumkan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar ketika proses menghadap Yang di-Pertuan Besar belum selesai menimbulkan persoalan mengenai adab dan tatacara yang sepatutnya dipatuhi.
Tegasnya, perkara berkaitan kedudukan Menteri Besar sepatutnya mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar sebelum sebarang pengumuman dibuat.
"Kita nampak pada hari ini pihak Umno di peringkat Persekutuan mendahului apa yang sepatutnya berlaku di peringkat negeri.
"Sepatutnya perkara paling penting bagi seorang ketua negeri adalah memaklumkan ataupun memberitahu serta menghadap Yang di-Pertuan Besar terlebih dahulu untuk mendapat perkenan baginda. Barulah perkara tersebut dibincangkan," katanya dipetik laporan media.
Umno mencipta kontroversi baharu di Negeri Sembilan apabila dilihat secara tergesa-gesa mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar sedangkan istana sendiri belum mengesahkan perkara itu.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawi kemudian dilapor menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkenaan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.
Sementara itu Aminuddin menyifatkan kemelut politik terbaharu itu bukan sahaja sesuatu yang mengejutkan, malah mencerminkan kelemahan komunikasi antara kepimpinan parti Umno di peringkat pusat dengan negeri.
Tambahnya, kepentingan politik di peringkat pusat tidak seharusnya mengatasi keperluan menjaga keharmonian pentadbiran negeri serta menghormati institusi adat.
"Inilah yang menyebabkan apa yang berlaku di Negeri Sembilan hari ini kerana pimpinan di peringkat pusat mempunyai agenda masing-masing berbanding di peringkat negeri. Akhirnya, perkara ini mengucar-ngacirkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini," katanya.




Comments