Cadangan naik cukai tanah: Kerajaan Kedah digesa pertimbang nasib pesawah


Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mengingatkan Kerajaan Kedah supaya tidak menyamakan pendekatan penilaian cukai tanah sawah dengan tanah komersial atau industri.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, tanah sawah ialah aset strategik pengeluaran makanan negara yang mempunyai pulangan ekonomi jauh berbeza berbanding hartanah pembangunan.
Justeru aset tersebut wajar diberikan perlindungan melalui kadar khas atau pengecualian bersasar bagi mengelakkan pesawah terus terbeban dengan tekanan kos sara hidup dan input pertanian semakin meningkat.
"Jangan samakan tanah sawah dengan tanah komersial. Walaupun mempunyai nilai hartanah, ia tidak menghasilkan pulangan seperti sektor industri.
"Jika cukai tanah dinaikkan secara mendadak tanpa mekanisme perlindungan, kita bimbang ia akan memberi kesan berantai kepada hampir 80 peratus pesawah di negeri ini yang mengusahakan sawah secara sewaan," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung cadangan semakan semula kadar cukai tanah yang disasarkan untuk diwartakan pada Disember ini.
Abdul Rashid sementara itu mendakwa, kebanyakan pemilik tanah tidak mengusahakan sendiri bendang mereka dan berkemungkinan memindahkan kos kenaikan cukai berkenaan kepada penyewa.
Sehubungan itu beliau menggesa sekiranya peningkatan kadar cukai tetap perlu dilaksanakan, ia perlu dilakukan secara berperingkat supaya pemilik tanah dan pengusaha tidak mengalami kejutan kewangan.




Comments