RM2.5 juta diluluskan untuk perkukuh operasi, kemudahan HTAR


Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi memperkukuh keselamatan, kapasiti dan kelancaran aliran pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Menteri Kesihatan (KKM) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebahagian besar peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur fizikal berjumlah RM1.59 juta.
Menurutnya, sebanyak RM750,000 bakal diperuntukkan bagi menaik taraf sistem pengurusan giliran di Pusat Rawatan Ambulatori (ACC), RM350,000 untuk menaik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA), manakala RM485,000 bagi kerja-kerja menaik taraf auditorium dan bilik mesyuarat.
"Bagi perolehan peralatan perubatan, sebanyak RM750,000 diperuntukkan merangkumi pembelian satu unit kamera endoskop video untuk kegunaan pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT) di dewan bedah bernilai RM605,000, tiga unit alat nyahfibrilasi berjumlah RM90,000 serta satu unit alat diatermi bernilai RM55,000.
"Selain itu, sebanyak RM160,000 diperuntukkan bagi perolehan peralatan bukan perubatan, melibatkan pembelian 250 unit meja sisi katil untuk kegunaan wad di bangunan utama bernilai RM100,000 serta 50 unit kerusi berangkai bagi ruang menunggu klinik dan lobi berjumlah RM60,000," katanya dipetik laporan media.
Dr Dzulkefy mengadakan lawatan kerja rasmi di HTAR pada Rabu bagi meninjau pengoperasian fasiliti, penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan projek naik taraf hospital berkenaan.
Mengulas usaha menangani kesesakan di HTAR dalam jangka panjang, beliau memaklumkan pembinaan Hospital Kapar mencapai kemajuan sebanyak 96.26 peratus setakat 20 Oktober 2026.
Hospital berkapasiti 312 katil dan dilengkapi 17 bidang kepakaran itu dijangka mula beroperasi seawal Jun 2027 secara berperingkat.




Comments