Selangor aktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan pesisir Pantai Barat Selangor.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang telah mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama itu turut menasihati orang ramai agar mengurangkan pergerakan ke luar rumah, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan saluran pernafasan.
"Jerebu bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, tetapi boleh mendatangkan kesan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta pesakit jantung dan penyakit respiratori.
"Golongan berisiko disaran berada di dalam bangunan, mengehadkan aktiviti lasak di luar rumah serta memakai penutup hidung dan mulut sekiranya perlu berada di luar," tambahnya.
Dalam masa sama, sekolah di seluruh negeri juga sudah diberikan notis mengenai langkah awal yang perlu diambil bagi melindungi pelajar, terutama di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
"Sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200," tegasnya.
Sementara itu beliau memaklumkan, Langkah tambahan bagi mengurangkan kesan jerebu akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dijadualkan hari ini dengan tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan unjuran cuaca serta data terkini.




Comments