SEKPUR, MEMO lapor polis akaun media sosial salah guna logo PDRM
- a few seconds ago
- 1 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) bersama Persatuan Media Digital Malaysia (MEMO) telah memfailkan laporan polis rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap pemilik akaun media sosial Threads (Instagram) atas nama @shukriesaid.
Laporan tersebut dibuat susulan hantaran video dan kandungan yang didakwa menggunakan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran bagi membina persepsi jahat, menyebarkan fitnah serta menghasut masyarakat dalam isu sensitif berkaitan kaum dan agama (3R).
Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon berkata, tindakan akaun berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang yang serius dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.

"Penggunaan lambang agensi keselamatan negara untuk menyebarkan naratif palsu dan kebencian bukan sahaja satu penghinaan kepada institusi PDRM, malah ia bertujuan mengelirukan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, SEKPUR dan MEMO menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
"Tindakan tegas dan pantas perlu diambil terhadap pemilik akaun tersebut sebagai pengajaran kepada pengguna media sosial yang lain agar sentiasa beretika dan mematuhi undang-undang," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan hantaran berunsur provokasi dan sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.





