Pemecatan Ketua Pembangkang luar biasa, petunjuk krisis dalaman PN parah - Intelek
- 40 minutes ago
- 2 min read

Pemecatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada parti yang diwakilinya disifatkan sebagai satu peristiwa luar biasa dalam sejarah politik negara apabila seorang Ketua Pembangkang Dewan Rakyat dipecat oleh parti sendiri.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, situasi tersebut jelas mencerminkan krisis dalaman yang amat serius dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).
"Perkembangan ini membuktikan bahawa kelemahan kepimpinan dan perpecahan dalaman dalam parti pembangkang PN sudah tidak lagi dapat disembunyikan.

"Pemecatan Datuk Seri Hamzah daripada parti sendiri merupakan satu peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara, apabila seorang Ketua Pembangkang dipecat oleh parti diwakilinya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap kemampuan PN untuk mentadbir negara kerana parti itu gagal menangani krisis dalaman dengan baik.
"Apabila konflik dalaman gagal diurus dengan baik sehingga melibatkan pemecatan tokoh utama, ia memberi gambaran jelas tentang ketidakstabilan gabungan tersebut.
"Jika urusan dalaman parti sendiri tidak dapat diselesaikan secara matang dan teratur, bagaimana mungkin mereka mampu mengurus kepentingan rakyat serta kestabilan pentadbiran negara yang jauh lebih kompleks?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya di Terengganu yang diperintah oleh PN agar lebih memikirkan masa depan negeri itu sementelah semakin hampirnya Pilihan Raya Umum ke 16 yang mungkin diadakan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Katanya, rakyat harus beralih sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan yang lebih stabil serta tidak menghadapi krisis kepimpinan berterusan.
"Semua lapisan masyarakat diseru untuk terus memberikan sokongan kepada gabungan PH dan BN dalam PRU16.
"Gabungan ini telah membuktikan keupayaan mentadbir negara dengan baik, berasaskan rekod prestasi yang cemerlang, kestabilan politik serta dasar-dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya lagi.
Untuk rekod, dalam kenyataan Setiausaha Agung Bersatu pada 13 Februari lalu, Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai 13 Feb kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Sebelum itu, Lembaga Disiplin Bersatu telah bersidang pada 12 Feb. Hamzah dilaporkan tidak hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu yang berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, kerana berada di Australia.





