Sokong siasatan profesional, Azam Baki tidak perlu bercuti - MCW
- 40 minutes ago
- 2 min read

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat perkara melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata pihaknya menyokong sepenuhnya siasatan yang dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang.
"MCW menyokong sepenuhnya siasatan yang dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang. Dalam sistem demokrasi matang, tiada individu yang kebal daripada semakan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa SPRM ketika ini sedang mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam dan negara.

"Kestabilan kepimpinan adalah faktor kritikal dalam memastikan kesinambungan siasatan, pendakwaan dan tindakan penguatkuasaan tidak terganggu," ujarnya.
Mengulas persoalan sama ada Azam perlu bercuti sepanjang siasatan berlangsung, Jais menegaskan bahawa MCW berpandangan beliau tidak perlu berbuat demikian.
"Banyak kes besar sedang berjalan dan berada pada fasa kritikal. SPRM memerlukan kesinambungan kepimpinan bagi memastikan integriti operasi tidak terganggu.
"Setakat ini tiada bukti salah laku yang telah dibuktikan. Prinsip presumption of innocence mesti dihormati," katanya.
Menurut beliau, tindakan bercuti dalam keadaan tersebut boleh memberi isyarat seolah-olah wujud pengakuan moral terhadap sesuatu yang belum dibuktikan.
"Apa yang lebih penting ialah memastikan proses siasatan berjalan secara bebas dan profesional tanpa menjejaskan operasi SPRM," tegasnya.
Bagaimanapun, MCW turut mencadangkan beberapa langkah bagi memastikan pengawasan lebih berkesan terhadap SPRM, antaranya penambahbaikan mekanisme semakan bebas, laporan berkala kepada Jawatankuasa Parlimen, audit tadbir urus dalaman yang dipantau pihak luar serta penjelasan awam yang konsisten bagi mengelakkan spekulasi.
"Pengawasan yang kuat tidak melemahkan institusi — ia mengukuhkannya".
MCW juga berpandangan agensi penguatkuasaan perlu lebih bertanggungjawab kepada Parlimen melalui kerangka yang tersusun dan tidak bersifat populis, termasuk penubuhan Jawatankuasa Parlimen Khas dwipartisan dengan kuasa semakan, pembentangan laporan tahunan secara terbuka serta mekanisme pelantikan dan pelanjutan kontrak yang lebih telus.
Namun begitu, Jais menegaskan bahawa dalam apa jua pembaharuan, kestabilan operasi tidak boleh dikompromi.
"SPRM adalah benteng utama negara dalam memerangi rasuah. Menggugat kepimpinan ketika kes-kes besar sedang berjalan boleh memberi kesan langsung kepada momentum penguatkuasaan.
"MCW mempertahankan institusi SPRM dan Tan Sri Azam Baki selagi tiada pembuktian salah laku dibuat melalui proses yang sah. Institusi mesti diperkukuh, bukan dilemahkan oleh persepsi," katanya.





