top of page

BERSIH sokong reformasi pisah kuasa Peguam Negara - Pendakwa Raya

  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pertubuhan proreformasi struktur pemerintahan, BERSIH menyambut baik komitmen kerajaan untuk melakukan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dengan perundangan berkaitan dijangka dibentangkan tahun ini.


Dalam satu kenyataan, Sekretariat BERSIH menegaskan bahawa kredibiliti reformasi tersebut akan dinilai berdasarkan sejauh mana ia benar-benar menjamin kebebasan pendakwaan dan melindungi institusi daripada campur tangan politik.


"Pengasingan fungsi nasihat undang-undang daripada pendakwaan jenayah bukan sekadar pelarasan prosedur. Ia merupakan perlindungan institusi yang asas terhadap campur tangan politik, konflik kepentingan dan pendakwaan terpilih dan ia bukan sekadar pelarasan prosedur," menurut kenyataan itu.


BERSIH berpandangan bahawa di bawah kerangka sedia ada, Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri memegang jawatan Pendakwa Raya secara ex officio dengan budi bicara hampir mutlak untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan prosiding jenayah.


"Sesuatu autoriti pendakwaan tidak seharusnya berkhidmat kepada kerajaan semasa. Ia mestilah berkhidmat kepada kepentingan awam, Perlembagaan dan tuntutan keadilan," tegasnya.


Sehubungan itu, BERSIH mencadangkan supaya jawatan Pendakwa Raya Negara yang baharu diwujudkan sebagai pejabat bebas sepenuhnya daripada badan Eksekutif, dengan pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang bebas, serta melalui proses saringan Jawatankuasa Pilihan Parlimen.


"Unsur paling kritikal bagi memastikan reformasi ini bermakna ialah kebebasan Pendakwa Raya daripada badan Eksekutif.


"Pendakwa Raya Negara mestilah dilindungi daripada sebarang risiko campur tangan Eksekutif dalam pelaksanaan tugas

mereka supaya semua pendakwaan dijalankan semata-mata demi kepentingan keadilan," katanya.


BERSIH turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang berasingan bagi mengawal pelantikan dan perjawatan badan pendakwaan, sekali gus memisahkannya daripada perkhidmatan kehakiman dan cabang Eksekutif.


"Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang berasingan (perlu diwujudkan), untuk menjaga kebebasan dan tidak campur tangan antara pendakwaan negara dan kedua dua cabang Eksekutif dan Kehakiman," jelas kenyataan itu.


Menurut BERSIH, Pendakwa Raya Negara yang baharu perlu diberi kuasa penuh di bawah Perlembagaan dan statut untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan prosiding jenayah, kecuali dalam bidang kuasa mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri dan mahkamah tentera.


Bagaimanapun, ia menegaskan bahawa garis panduan pendakwaan, kod etika dan kod kelakuan mesti diwartakan, dibentangkan di Parlimen serta mengikat secara undang-undang.


"Beroperasi sebagai pejabat bebas berasingan daripada Peguam Negara, Pendakwa Raya Negara akan dikehendaki melaksanakan tugas secara saksama dan bebas daripada pengaruh politik atau campur tangan dari badan Eksekutif, berpandukan kuasa, tugas, dan kod amalan yang dimandatkan oleh statut.


"Satu Akta Pemboleh mesti menetapkan tugas utama dan syarat perkhidmatan bagi perkhidmatan pendakwaan, mewajibkan pengeluaran garis panduan pendakwaan, kod kelakuan, dan kod etika dan garis panduan yang mengawal hubungan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya Negara kesemua ini mesti diwartakan, dibentangkan di Parlimen, dan mengikat Pendakwa Raya serta anggota perkhidmatan pendakwaan," kata keyataan itu.


Dalam pada itu, BERSIH menegaskan bahawa selepas pengasingan kuasa dilaksanakan, Peguam Negara hendaklah memainkan peranan politico-perundangan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, tanpa campur tangan dalam fungsi pendakwaan kecuali dalam keadaan luar biasa melibatkan keselamatan negara dan secara bertulis.


"Peguam Negara hendaklah mengekalkan hanya suatu peranan yang terhad serta diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan atau undang-undang untuk dirujuk oleh Pendakwa Raya Negara dalam kes-kes pendakwaan yang

luar biasa melibatkan perkara-perkara keselamatan negara.


"Walau bagaimanapun, nasihat Peguam Negara dalam rundingan tersebut hendaklah diberikan secara bertulis, dan Pendakwa Raya tidak terikat untuk menerima atau melaksanakan nasihat tersebut," kata Sekretariat BERSIH lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page