top of page

Krisis Pas Perlis: Menyalahkan ahli bukan penyelesaian - Mahfuz

  • 34 minutes ago
  • 2 min read

Surat terbuka Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas) kepada ahli Pas Perlis yang meletakkan punca krisis sebagai kegagalan walak ahli menimbulkan kehairanan dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat.


Bagi Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar), surat tersebut dilihat lebih cenderung menyalahkan pengikut berbanding menilai kelemahan kepimpinan sendiri, sedangkan dalam mana-mana organisasi – lebih-lebih lagi yang membawa nama Islam – tanggungjawab utama terhadap kestabilan jemaah terletak pada kepimpinan.


"Jika benar krisis Perlis hanya berpunca daripada ahli yang tidak taat, ia sepatutnya dapat diselesaikan melalui proses dalaman parti tanpa mengorbankan kerajaan negeri.


"Hakikat bahawa Menteri Besar terpaksa berundur dan kerajaan bertukar tangan menunjukkan masalah yang lebih mendasar daripada sekadar isu disiplin ahli," katanya dalam satu kenyataan.


Mahfuz menegaskan bahawa Islam mengajar ketaatan kepada pemimpin, namun dalam masa yang sama meletakkan pemimpin sebagai pihak pertama yang dipertanggungjawabkan apabila berlaku kegagalan.


"Prinsip ‘setiap kamu pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan terhadap yang dipimpin’ tidak boleh dikecualikan hanya kerana memegang jawatan parti," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa menjadikan perbezaan pandangan sebagai isu tidak walak berisiko menutup ruang nasihat dalam parti.


"Apabila teguran dianggap kesalahan, akhirnya ahli bukan lagi rakan memperbaiki organisasi, tetapi hanya diminta menjadi pengikut yang diam. Keadaan ini tidak menguatkan jemaah, sebaliknya melemahkan kemampuan parti menghadapi realiti pemerintahan," katanya.


Tambah beliau, parti yang matang sepatutnya berani melakukan muhasabah terbuka dan mengakui kelemahan kepimpinan sebagai tanda kekuatan serta kejujuran.


"Rakyat dan ahli parti berhak kepada penjelasan yang lebih jujur. Menyalahkan pengikut mungkin mudah, tetapi memperbaiki kepimpinan adalah tanggungjawab yang sebenar," katanya lagi.


Untuk rekod, dalam surat terbuka Presiden Pas yang tular di media sosial kelmarin, Hj Hadi menyenaraikan beberapa isu menyebabkan krisis politik di Perlis berlaku.


Antaranya, terdapat lobi-melobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat agung sebagai tindakan merosakkan dalaman Pas dan menjatuhkan Kerajaan Negeri. Tidak memahami kelemahan peringkat Kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran. Juga tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page