Ketua KEADILAN Kuantan terima Sandang Mahkota Cula Pelangi PSSGM
- 7 hours ago
- 2 min read

Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, dianugerahkan Sandang Mahkota Cula Pelangi oleh Majlis Lembaga Adat Negeri Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Kebangsaan Negeri Pahang dalam satu majlis penganugerahan sandang kebesaran yang berlangsung di Kuantan, baru-baru ini.
Turut menerima sandang kebesaran sama ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli serta Pegawai Daerah dan Tanah Kuantan, Datuk Shahruddin Jali. Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Tunku Amiruddin Tunku Yusof selaku Timbalan Yang Dipertua II PSSGM Kebangsaan.
Timbalan Pengerusi PSSGM Kebangsaan Negeri Pahang, Ahmad Tajuddin Othman berkata, anugerah sandang itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa tokoh kepimpinan masyarakat di negeri ini yang banyak menyokong usaha memartabatkan warisan seni silat.
Katanya, Majlis Lembaga Adat Negeri PSSGM Kebangsaan Negeri Pahang berbesar hati memilih Fakhrul Anuar Zulkawi sebagai penerima Sandang Mahkota Cula Pelangi atas komitmen dan sokongan beliau dalam memperkukuh seni silat di Pahang.
Fakhrul Anuar yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas penghormatan tersebut serta bertekad untuk terus membantu memartabatkan seni Silat Gayong di Kuantan khususnya dan negeri Pahang amnya.
"Saya amat berterima kasih atas pengiktirafan ini dan akan terus menyokong usaha memperluaskan seni silat Gayong dalam kalangan generasi muda. Usaha ini selari dengan hasrat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk mewujudkan Pendekar Madani di semua sekolah sebagai sebahagian daripada pembinaan jati diri anak bangsa," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan MADANI komited membantu pertubuhan silat di seluruh negara melalui peruntukan khas sebanyak RM2 juta bagi memperkasakan kegiatan persilatan pada tahun 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, Fakhrul Anuar memaklumkan bahawa satu peluncuran gelanggang latihan seni Silat Gayong untuk srikandi wanita akan diadakan sempena pelancaran Sukma Waja Wanita Keadilan Negeri Pahang pada 16 Februari 2026 di Taman Gelora, Kuantan.
Program tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Wanita Keadilan Pusat, Fadhlina Sidek dan bakal menjadi gelanggang pertama Pendekar Madani dibuka oleh Wanita Keadilan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Ketua Wanita Negeri Pahang, Sridayu Samsuri.





