top of page

SEKPUR mahu ajaran sesat diambil tindakan, pantau sebarang aktiviti

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 22
  • 2 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) menggesa pemimpin tertinggi negara ini campur tangan bagi memastikan tiada ruang diberikan kepada mana-mana ajaran sesat untuk bergerak bebas secara berkumpulan demi memelihara kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.


Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun (gambar) berkata, pihaknya memandang serius dan menzahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung dakwaan penganjuran perhimpunan oleh pengikut ajaran Qadiani (Ahmadiyyah) baru-baru ini di Selangor, seperti tular di media sosial.


Katanya, tindakan kumpulan itu yang mengadakan perhimpunan secara terbuka bukan sahaja mencabar sensitiviti umat Islam, malah berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menggugat persepsi rakyat dan memberi kesan langsung kepada ketenteraman serta keselamatan negara.


"Ajaran Qadiani telah lama difatwakan sebagai menyeleweng dan terkeluar daripada acuan Islam yang sebenar oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Pegangan rasmi negara ini adalah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).


​"Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara digesa mengarahkan siasatan terperinci daripada sudut ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.


"Aktiviti provokatif seumpama ini tidak boleh dibiarkan sehingga mencetuskan ketegangan kaum atau agama," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, SEKPUR mengingatkan bahaya ajaran sesat di negara ini yang memesongkan akidah umat Islam.


"SEKPUR ingin mengingatkan semua pihak bahawa kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan dakyah atau mempamerkan ajaran yang telah difatwakan sesat kepada umum, terutamanya dalam kalangan masyarakat majoriti Muslim.


"SEKPUR akan terus memantau rapat perkembangan isu ini demi mempertahankan kesucian akidah Islam dan keharmonian tanah air," kata beliau lagi.


Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam berkata, video berkait ajaran Qadiani tersebar di media sosial kebelakangan ini adalah video lama yang ditularkan semula.


Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dipetik merujuk hantaran di akaun Facebook yang mendakwa ajaran berkenaan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama, berkata video disebarkan ketika ini adalah video 2019.


"Berhubung hantaran di Facebook, JAIS menegaskan bahawa video-video berkenaan adalah video 2019 yang dikumpul dan ditularkan semula. Berdasarkan rekod, pihak JAIS sudah membuat siasatan di lokasi selepas JAIS maklum mengenai video terbabit pada masa itu.


"Bagaimanapun, JAIS mendapati tiada kesan kegiatan seumpamanya berlaku pada masa itu. JAIS juga menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tiada tanda-tanda aktiviti berlaku," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, Qadiani bukan ajaran Islam dan sudah difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000 di Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page