top of page

Sekatan dagang hanya simbolik negara Barat terhadap hipokrasi Israel

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
46 minutes ago
2 min read
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah. Gambar arkib
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah. Gambar arkib

Sekatan Barat terhadap peneroka haram Israel di Tebing Barat disifatkan sekadar sandiwara simbolik yang gagal menyentuh punca sebenar keganasan terhadap rakyat Palestin.


Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan sekatan terhadap akiviti perdagangan peneroka Israel yang tidak sah itu hanya sekatan untuk mengaburi mata dan tidak meninggalkan kesan.


"Ini kerana barangan masih boleh dipindahkan keluar dari kawasan penempatan haram tersebut ke kawasan lain dalam negara Israel sebelum diperdagangkan ke peringkat antarabangsa. Jadi, sekatan apakah yang sebenarnya kita sedang bicarakan?


"Sekatan terhadap tindakan menceroboh dan menduduki tanah Palestin sepatutnya dikenakan terhadap negara Israel sendiri, kerana tentera Israel mengiringi peneroka Israel ketika mereka menyerang rumah-rumah rakyat Palestin dan kadangkala turut membantu mereka, atau sekurang-kurangnya hanya menyaksikan serangan yang sedang berlaku.


"Laporan visual media antarabangsa telah mendokumentasikan kejadian-kejadian ini dengan jelas.


"Peluru dan senjata yang digunakan untuk membunuh rakyat Palestin pula dibekalkan oleh negara-negara Barat. Mengapa mereka tidak menghentikan bekalan senjata dan peluru kepada Israel?" tanyanya menerusi satu kenyataan.


Raja Kamarul menegaskan, sudah tiba masanya untuk tindakan yang benar-benar bermakna dilakukan disertai kemahuan politik yang sebenar.


Hal itu katanya bagi menyelamatkan kanak-kanak dan warga emas Palestin yang tidak berdosa daripada terus menjadi mangsa serangan peneroka Israel yang tidak sah, sebelum jumlah kematian mencapai skala mengerikan seperti yang berlaku di Gaza.


"Sekatan terhadap peneroka Israel yang tidak sah di Tebing Barat hanyalah tindakan simbolik yang menyedihkan, dilakukan kerana rasa bersalah dan bukannya atas rasa tanggungjawab moral yang sebenar terhadap pembunuhan rakyat Palestin.


"Barat hanya mengenakan sekatan dan menyasarkan peneroka Israel yang tidak sah, sedangkan kerajaan Israel pula bertindak balas dengan menutup beberapa kedutaan negara-negara Barat kerana sekatan tersebut.


"Jelas bahawa kerajaan Israel turut bersubahat, namun Barat masih memilih untuk bertindak secara berhati-hati dan terlalu lembut, sementara peneroka Israel yang tidak sah terus membakar rumah dan membunuh rakyat Palestin," katanya sambil menyelar tindakan rejim itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page