top of page

Sekatan AS di Selat Hormuz melampau, dunia perlu bangkit menentang

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar, mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menyekat laluan strategik Selat Hormuz bagi menghalang kapal memasuki pelabuhan Iran.


Menurut beliau, tindakan tersebut bukan berkaitan keselamatan, sebaliknya didakwa berpunca akibat kegagalan rundingan antarabangsa antara AS dan Iran yang berlangsung di Pakistan kelmarin.


"Tindakan Donald Trump menyekat Selat Hormuz adalah tindakan melampau, berbahaya dan tidak bertanggungjawab.


"Ini bukan soal keselamatan. Ini soal ego kuasa besar yang gagal dalam rundingan," katanya dalam satu kenyataan.


Mahfuz berkata, sekatan terhadap laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia itu berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global.


"Selat Hormuz bukan milik AS (kerana jauh dari benua Amerika), tetapi hari ini ia dijadikan alat untuk mengugut dunia," tegasnya.


Beliau turut mendakwa tindakan tersebut akan membawa implikasi besar termasuk kenaikan harga minyak dan peningkatan kos sara hidup, khususnya kepada negara membangun.


Dalam masa sama, Mahfuz menegaskan bahawa keputusan sedemikian bukan mencerminkan kehendak sebenar rakyat Amerika Syarikat secara keseluruhan, sebaliknya didorong oleh kepentingan segelintir pihak elit.


"Ini bukan keputusan rakyat Amerika.Ini keputusan dan kehendak segelintir elit Amerika di rumah putih yang memperjudikan dunia," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti antarabangsa agar bangkit menentang sebarang bentuk sekatan yang menjejaskan kebebasan laluan perdagangan global.


"Komuniti antarabangsa mesti bangkit menolak sekatan ini secara terbuka. Mendesak laluan perdagangan kekal bebas dan menentang politik ugutan yang melanggar prinsip antarabangsa," katanya.


Mahfuz turut menegaskan bahawa tindakan tersebut mencerminkan pendekatan paksaan, bukan kepimpinan sebenar dalam hubungan antarabangsa.


Sehubungan itu, beliau menggesa agar dunia tidak berdiam diri dalam menghadapi situasi tersebut.


"Jangan biar dunia dihukum. Dunia mesti bangkit menentang," tegas Mahfuz.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page