top of page

Sedia ambil langkah intervensi, bekalan makanan mesti cukup - Mohamad Sabu

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 38 minutes ago
  • 2 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama semua agensi berkaitan sedang memantau stok, harga dan rantaian bekalan setiap hari dalam memastikan ia mencukupi terutama sepanjang musim perayaan ini.


Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, kerajaan sedia mengambil apa saja langkah intervensi bagi memastikan bekalan makanan sentiasa berada di pasaran dan mampu diakses pengguna.


"Jika ada tanda-tanda gangguan (bekalan makanan), kerajaan tidak akan tunggu lama.


"Kerajaan bersedia mengambil apa sahaja langkah intervensi yang perlu.... bekalan makanan mesti sentiasa ada di pasaran dan rakyat mampu mengaksesnya," katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri yang disambut esok.


Mohamad berkata kementeriannya memberikan jaminan yang jelas bahawa bekalan makanan adalah terjamin dan mencukupi sepanjang musim perayaan hingga Mei ini.


"Saya ingin menyeru semua supaya jangan lakukan pembelian panik. Belilah ikut keperluan, berbelanja secara berhemah dan elakkan pembaziran. Sokonglah juga produk tempatan," nasihat beliau.


Pada masa yang sama, Mohamad mengingatkan orang ramai agar bersedia dalam keadaan dunia penuh ketidaktentuan.


"Sikap bersiap siaga bukan tanda takut, tetapi tanda kita matang dan berfikir jauh. Saya yakin Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dengan segala kemampuan yang ada, namun rakyat juga perlu membantu dengan menyebarkan kebenaran serta menjauhi fitnah dan berita palsu," ujarnya.


Jelas Mohamad kesan konflik Asia Barat mula dirasai oleh dunia apabila berlaku kenaikan harga minyak dan gas selain kos logistik, harga baja dan komoditi makanan dunia turut terkesan.


"Apa yang berlaku ribuan kilometer dari kita, boleh terasa sampai ke dapur rumah rakyat Malaysia," ingat beliau.


Katanya ramai penganalisis, dalam dan luar negara menjangkakan konflik ini tidak akan selesai dalam masa singkat.


"Ertinya, tekanan kepada harga makanan dunia mungkin berpanjangan. Justeru saya ingin jujur dengan semua, harga dan situasi bekalan boleh berubah pada bila-bila masa," katanya.


Dalam masa yang sama, lebih ramai pelancong dijangka datang ke negara kita kerana stabil dan aman, katanya.


"Itu berita baik untuk ekonomi tetapi ia juga bermakna permintaan terhadap makanan dalam negara akan meningkat," ujarnya.


Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan ketika Syawal datang membawa kegembiraan, terdapat umat Islam sedang diuji dengan peperangan dan penindasan yang masih berterusan.


"Aidilfitri mengajar kita tentang kesederhanaan, disiplin dan kebersamaan.


"Dengan pengurusan yang cekap dan berstrategi serta rakyat yang matang dan tenang, Insya-Allah negara kita akan terus stabil dan keterjaminan makanan akan terus terpelihara," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page