Sedekad usia AMANAH, tekad terus perjuangkan kebajikan rakyat
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 2 min read

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) mengimbau perjalanan parti itu sejak penubuhannya pada 16 September 2015, ketika hanya dianggap sebagai sebuah parti kecil atau 'parti nyamuk'.
Menurut beliau, kejayaan AMANAH hari ini tidak dapat dipisahkan daripada semangat kebersamaan bersama rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya KEADILAN dan DAP.
"Ketika itu AMANAH hanyalah sebuah parti kecil. Namun dengan semangat kebersamaan, kita bergabung bersama rakan-rakan seperjuangan dalam KEADILAN dan DAP," katanya dalam satu kenyataan sempena sedekad AMANAH.
Mohamad yang mesra disapa Bang Mat turut mengingatkan kejayaan besar yang dilakar PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Alhamdulillah, hasil usaha dan kesatuan hati, akhirnya pada tahun 2018 kita berjaya melakar sejarah dengan mengambil alih tampuk pemerintahan negara melalui Pakatan Harapan," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan AMANAH masih jauh, namun yakin dengan semangat setiakawan, parti itu bersama rakan PH mampu mengharungi cabaran politik negara dengan lebih matang.
"Perjalanan kita masih panjang. Bang Mat yakin, dengan terus menjaga semangat setiakawan dan perjuangan demi rakyat, insya-Allah kita mampu mengharungi cabaran politik tanah air dengan lebih matang dan berjaya," katanya lagi.
Untuk rekod, sedekad lalu AMANAH ditubuhkan oleh pemimpin progresif Pas yang disingkirkan dalam Mutamar Pemilihan Parti pada 2015 sehingga mewujudkan krisis dalaman.
Tarikh 16 September dipilih sebagai pelancaran AMANAH bersempena Hari Malaysia, sebagai simbol perjuangan parti itu untuk membina negara berteraskan nilai Islam progresif, keadilan sosial, dan perpaduan rakyat pelbagai kaum.
Oleh kerana sukarnya mendaftarkan parti baharu pada waktu itu maka Parti Pekerja Malaysia (PPM) yang sudah berdaftar diambilalih, sebelum menjenamakannya semula sebagai Parti Amanah Negara.
Mohamad Sabu merupakan Presiden AMANAH sejak ditubuhkan sehingga kini. Antara pemimpin awal adalah Datuk Seri Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Dr Mariah Mahmud dan lain lain.









Comments