"Saya tumpu selamat ekonomi rakyat, mereka pilih PRN" – Anwar
- Hasbul Ahmad

- 2 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaan beliau adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memulihkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah pilihan yang beliau mahukan.
Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Johor di Batu Pahat malam tadi, Anwar berkata beliau lebih cenderung untuk meneruskan kerjasama Kerajaan Perpaduan dan memastikan kestabilan politik dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh ekonomi negeri serta negara.
Menurut beliau, ketika rakyat masih berdepan pelbagai cabaran kos sara hidup dan keperluan ekonomi, fokus kerajaan seharusnya diberikan kepada usaha membantu rakyat serta mempercepatkan agenda pembangunan.
"Pilihan saya ialah kerjasama diteruskan. Pilihan saya ialah menjaga negeri ini. Pilihan saya ialah menangguhkan segala pilihanraya dan menumpukan usaha menyelamatkan ekonomi rakyat," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk mengadakan pilihanraya merupakan hak pihak yang memerintah negeri dan PH tidak mempunyai pilihan selain bersedia menghadapi pertandingan tersebut.
"Mahu adakan pilihanraya baharu di Johor, itu pilihan mereka. Saya tidak ada pilihan. Bila mereka mahu pilihanraya, kita bersedia," katanya disambut sorakan kira-kira 5,000 hadirin.
Anwar berkata, meskipun pilihanraya diadakan, rakyat tidak seharusnya melupakan isu yang lebih besar iaitu keperluan mewujudkan kerajaan yang mampu menjamin kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau menegaskan bahawa setiap pilihanraya merupakan medan untuk rakyat menentukan masa depan negeri melalui kuasa demokrasi yang diberikan kepada mereka.
"Kekuasaan itu kembali kepada rakyat. Rakyat yang menentukan kerajaan seperti apa yang mereka mahu. Sama ada kerajaan yang bekerja untuk rakyat atau sebaliknya, keputusan itu berada di tangan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji semangat rakyat Johor yang hadir memenuhi program pelancaran jentera PH walaupun dalam keadaan cuaca panas, sekali gus menunjukkan kesungguhan mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi.
Anwar turut menyifatkan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dalam program tersebut sebagai gambaran sebenar perpaduan rakyat Johor yang tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman sempit.
"Saya lihat Melayu, Cina dan India berhimpun bersama. Tidak ada masalah antara mereka.
"Yang menimbulkan kebencian dan perpecahan ini biasanya datang daripada ahli politik yang sudah ketandusan idea," katanya.
Beliau berkata rakyat hari ini mahukan penyelesaian terhadap isu ekonomi, peluang pekerjaan, kestabilan politik dan agenda reformasi, bukannya retorik yang memecah-belahkan masyarakat.
Justeru itu, beliau menyeru seluruh jentera PH Johor supaya turun bertemu rakyat dengan mesej yang jelas bahawa keutamaan perjuangan adalah membina negeri yang stabil, maju dan mampu menjamin kesejahteraan rakyat.
"Fokus kita tetap sama, iaitu membela rakyat dan memperkukuh ekonomi. Itu yang lebih penting daripada segala-galanya," katanya lagi.




Comments