‘Satu negara, satu harga’: Hapuskan sistem Karbotaj di Malaysia Timur - Abun Sui
- Akmal Manaf

- Mar 30
- 2 min read

Sistem Kabotaj wajar dihapuskan sepenuhnya demi memastikan keseimbangan harga barangan di seluruh Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak, kata Abun Sui Anyit (gambar).
Ahli Dewan Negara itu berkata, realiti pada hari ini menunjukkan bahawa harga barangan di Sabah dan Sarawak masih relatif lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Oleh itu katanya, keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ianya memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Ujar Abun, langkah menghapuskan kabotaj adalah penting demi mengurangkan kos logistik dan rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan penghantaran barangan.
"Selain itu (penghapusan sistem Kabotaj) menyumbang kepada penyelarasan harga barangan secara nasional.
"Hakikatnya pada hari ini, Pelabuhan Klang berfungsi sebagai pusat pemunggahan utama (single transshipment hub) bagi kapal-kapal dari seluruh dunia ke Malaysia.
"Inilah antara realiti pelaksanaan sistem Kabotaj di mana banyak barangan perlu melalui Semenanjung terlebih dahulu sebelum dihantar ke Sabah dan Sarawak sekali gus menyebabkan pertambahan kos logistik, kelewatan penghantaran dan harga barangan menjadi lebih tinggi di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mencadnagkan agar kerajaan mempertimbangkan agar industri perkapalan turut memfokuskan operasi di Sabah dan Sarawak.
"Saya memahami kebimbangan terhadap industri perkapalan tempatan. Justeru, pendekatan yang lebih strategik perlu diambil seperti industri perkapalan tempatan boleh memfokuskan operasi di Sarawak dan Sabah.
"Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat perlu memikirkan dan melaksanakan langkah sokongan khusus bagi membantu pemain industri ini menyesuaikan diri dalam landskap baharu," katanya.
Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, berkata hal yang lebih penting ialah negara memerlukan tekad politik yang jelas dan berani bagi memastikan harga barangan dapat distabilkan.
Menurutnya, usaha itu juga penting bagi mengurangkan jurang harga antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, di samping merealisasikan matlamat jangka panjang ke arah konsep ‘satu harga, satu negara’.
"Kerajaan mesti mempunyai tekad politik yang kukuh untuk menstabilkan dan menyamakan harga melalui dasar ‘satu negara, satu harga’.
"Kita tidak boleh membiarkan rakyat Sabah dan Sarawak terus menanggung harga barangan yang tinggi sepanjang kita bernegara," ujarnya lagi.




Comments