Kecoh mesyuarat cabang: Bertenang, fokus perkukuh parti - AMK Jerantut
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Jerantut, Pahang menyeru semua pihak agar bertenang dan kembali memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti susulan kekecohan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Jerantut baru-baru ini.
Ketua AMK Jerantut, Muhammad Hafami Jaafar (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang timbul termasuk undi tidak percaya terhadap Ketua Cabang yang melibatkan sebahagian Ahli Jawatankuasa.
"Saya sedar dan tidak menafikan bahawa apa yang berlaku dalam mesyuarat Cabang baru-baru ini telah menimbulkan kegelisahan, ketegangan dan mungkin juga rasa tidak puas hati dalam kalangan kita," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam organisasi, namun tidak seharusnya membawa kepada perpecahan.
Beliau turut menyeru semua ahli agar kembali kepada asas perjuangan parti.
"Sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN Jerantut, saya ingin menyeru agar kita semua kembali kepada asas perjuangan iaitu keadilan, integriti dan kesatuan," katanya.
Tambah beliau, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan berhemah.
Dalam masa sama, Hafami mengingatkan agar ahli parti tidak hilang fokus terhadap matlamat besar perjuangan reformasi.
"Jangan kerana satu episod, kita hilang fokus terhadap matlamat besar. Rakyat di luar sana sedang memerhati," ujarnya.
Beliau turut menggesa ahli KEADILAN di Jerantut untuk terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, termasuk usaha memenangi kerusi DUN Damak pada pilihanraya akan datang.
"Segala tenaga, strategi dan perpaduan harus digembleng secara matang," katanya lagi.
Untuk itu, AMK Jerantut komited terus memainkan peranan sebagai penggerak anak muda dengan membawa agenda yang lebih positif, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
"Rapatkan saf, perbetulkan niat, dan teruskan perjuangan dengan semangat yang baharu. Kita bangkit bersama, kita kuat bersama.
"Kita berbeza pandangan, tetapi tetap satu perjuangan," katanya lagi.




Comments