Bebaskan sukarelawan Sumud 2.0: Usaha diplomatik giat dilaksanakan - PM
- Redzuan Shamsudin

- May 1
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi rakan rakan pimpinan negara Arab bagi membantu membebaskan 10 sukarelawan rakyat Malaysia yang diculik rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Beliau berkata, kerajaan kini sedang menggerakkan pelbagai usaha termasuk saluran diplomatik bagi memastikan keselamatan serta pembebasan mereka.
"Kita doakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam tahanan rejim zalim Israel. Kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa. Ini kerja gila," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, hari ini.
Menurut beliau, sebahagian peserta misi yang tidak terselamat terpaksa beralih ke perairan Greece dan berada di bawah perlindungan pihak berkuasa negara tersebut bagi mengelak ditahan oleh tentera Israel.
"Yang selamat itu, ada terpaksa beralih masuk ke kawasan Greece. Di situ dijamin oleh tentera laut Greece," katanya.
Tambah beliau, kerajaan sedang berusaha menghubungi negara sahabat termasuk negara negara Arab bagi mencari jalan untuk membebaskan mereka yang ditahan.
"Jadi kita sekarang, apa jua ikhtiar cuba hubungi sahabat kita, negara Teluk dan negara Arab, cari jalan untuk lepaskan mereka dari tahanan Israel," katanya.
Perdana Menteri turut mengecam keganasan zionis yang tidak berperikemanusiaan menculik sukarelawan membawa bantuan.
"Demikianlah kezaliman berterusan. Dia tak puas hati dengan bunuh wanita, anak anak, tak puas hati dengan menyerang Iran, serang Lubnan, Gaza dan sekarang orang yang nak bantu, bukan bawa senjata, bawa makan, minum, ubat dan pakaian (diculik)," katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia serta negara sahabat bagi menangani situasi tersebut.




Comments