Sarawak, Sabah henti tebang hutan jika mahu tuntut hasil cukai karbon
- Akmal Manaf

- Jun 30
- 2 min read

Sabah dan Sarawak perlu menghentikan sepenuhnya aktiviti penebangan hutan sekiranya mahu menuntut 70% daripada hasil cukai karbon Persekutuan, kata Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar).
Beliau berkata, penerimaan hasil karbon tidak seharusnya menjadi ganjaran semata-mata atas faktor geografi yang diwarisi, sebaliknya perlu menjadi komitmen yang mengikat terhadap pemeliharaan pada masa hadapan.
"Jika wilayah-wilayah ini mahu diberi pampasan sebagai penyerap karbon utama negara, mereka mesti memainkan peranan aktif dalam melindunginya.
"Kita tidak boleh menuntut 70% hasil cukai karbon, pada masa yang sama membenarkan penyusutan hutan yang menjadi sumber kepada nilai tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Roland berkata beliau menggariskan beberapa syarat utama bagi memastikan kerangka perkongsian hasil cukai karbon dilaksanakan secara mampan dan adil.
Menurut beliau, agihan hasil cukai karbon kepada Sabah dan Sarawak perlu tertakluk kepada petunjuk prestasi utama (KPI) sifar penebangan hutan serta mekanisme pemantauan yang kukuh dan telus.
"Insentif kewangan mesti disalurkan secara langsung kepada perlindungan kekal dan pemulihan habitat semula jadi sedia ada, bukannya untuk mengimbangi aktiviti pembalakan komersial atau penukaran guna tanah yang masih berterusan.
"Sebagai penjaga khazanah hutan negara, kedua-dua negeri juga perlu membuktikan bahawa mereka mengamalkan standard pengurusan hutan yang selari dengan amalan terbaik global bagi mewajarkan penerimaan sebahagian besar hasil cukai Persekutuan tersebut.
"Saya menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan kedua-dua wilayah di Borneo supaya memastikan sebarang kerangka cukai karbon pada masa hadapan mengutamakan kepentingan iklim terlebih dahulu, serta menjamin bahawa hasil yang diperoleh, digunakan untuk melindungi hutan sedia ada dan bukannya mensubsidi pendekatan perniagaan seperti biasa," ujarnya lagi.
Terdahulu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa Sabah dan Sarawak diberikan sekurang-kurangnya 70% daripada hasil cukai karbon dikutip Putrajaya memandangkan dua negeri itu merupakan penyerap karbon utama Malaysia.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengiktiraf sumbangan dua negeri itu kepada alam sekitar.
Bagaimanapun, bagi aktivis alam sekitar kedua dua negeri tersebut melakukan banyak penebangan hutan untuk pertanian terutama dalam membuka ladang sawit berskala besar.



Comments