Sarawak perlu percepat pengiktirafan tanah NCR masyarakat Dayak - KEADILAN Sarikei


KEADILAN Sarikei mendesak Kerajaan Sarawak mempercepatkan penyelesaian pertikaian tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), termasuk mempergiatkan kerja ukur perimeter dan pengeluaran geran tanah bagi melindungi hak masyarakat asal negeri itu.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, isu pertikaian tanah adat yang berlarutan sejak sekian lama menyebabkan masyarakat bumiputera terus berdepan ketidakpastian terhadap tanah warisan nenek moyang mereka.
Beliau berkata, KEADILAN Sarikei sekali lagi hadir ke Mahkamah Tinggi Sibu bagi memberikan sokongan moral dan solidariti kepada penduduk kampung dari Tanjung Manis yang sedang melalui prosiding mahkamah berhubung pertikaian tanah NCR mereka.
Penduduk kampung berkenaan diwakili peguam, Roland Engan, yang memperjuangkan hak tanah adat.
"KEADILAN Sarikei amat bersimpati dengan nasib yang dihadapi oleh penduduk kampung yang terpaksa berjuang mempertahankan tanah adat yang diwarisi daripada nenek moyang mereka, namun pada masa yang sama berdepan dengan tuduhan menceroboh tanah oleh pihak syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bruce, tanah adat bukan sekadar kawasan untuk didiami atau diusahakan, sebaliknya mempunyai nilai sejarah, identiti, budaya dan menjadi sumber kehidupan masyarakat asal bumiputera Sarawak.

Beliau turut memuji ketabahan penduduk kampung yang terus bersatu mempertahankan hak mereka, termasuk mengikuti prosiding mahkamah dari jam 9 pagi hingga 7.20 malam.
Katanya, pertikaian tanah NCR yang masih belum diselesaikan secara tuntas selepas Sarawak mencapai kemerdekaan pada 1963 membimbangkan kerana masyarakat asal terus berdepan kebimbangan terhadap kemungkinan tanah warisan mereka dituntut atau diambil alih pihak lain.
Bruce berpandangan kelemahan tadbir urus, kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan kekurangan ketelusan dalam pentadbiran tanah merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius.
"Sebarang dakwaan salah laku hendaklah disiasat secara telus dan menyeluruh supaya hak rakyat tidak terabai dan keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mempercepatkan dan memperluas kerja ukur perimeter NCR bagi mengenal pasti serta mengesahkan sempadan tanah adat yang dituntut secara sah.
Selain itu, katanya, proses pengeluaran geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak perlu dipercepatkan, tertakluk kepada kelayakan dan proses undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut mencadangkan peningkatan peruntukan kewangan dan sumber manusia bagi mempercepatkan kerja ukur tanah, pemprosesan permohonan serta penyelesaian pertikaian, di samping mewujudkan mekanisme penyelesaian yang lebih berkesan dan adil.
Dalam pada itu, KEADILAN Sarikei menyuarakan kebimbangan sekiranya Belanjawan Sarawak 2027 tidak menyediakan peruntukan khas yang mencukupi bagi mempercepatkan kerja ukur perimeter NCR dan pengeluaran geran tanah di bawah Seksyen 18.
"Persoalannya, jika hasil pendapatan Sarawak bagi tahun 2027 dianggarkan mencecah hampir RM15 bilion, mengapakah usaha mempercepatkan pengiktirafan dan perlindungan hak tanah adat masyarakat asal masih belum diberikan keutamaan yang sewajarnya?" katanya.
Bruce menegaskan kemakmuran negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah hasil dan kekayaan semata-mata, tetapi juga melalui usaha melindungi hak serta menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat asal.
"KEADILAN Sarikei menegaskan bahawa pengiktirafan hak tanah adat NCR bukanlah satu ihsan daripada kerajaan, sebaliknya merupakan soal keadilan, penghormatan terhadap hak yang sah dan tanggungjawab untuk melindungi warisan masyarakat asal Sarawak," katanya.
Beliau berkata, KEADILAN Sarikei akan terus menyokong masyarakat Dayak dan komuniti lain yang memperjuangkan hak tanah adat melalui saluran sah, berlandaskan undang-undang dan prinsip keadilan.




Comments