top of page

Sarawak milik rakyat, bukan hak eksklusif mana-mana parti – Zulhaidah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 minutes ago
2 min read

Sarawak bukan hak eksklusif mana-mana parti politik atau individu, sebaliknya rakyat mempunyai kuasa mutlak menentukan kepimpinan negeri menerusi proses demokrasi dan peti undi.


Pengerusi Biro Veteran KEADILAN Negeri Sarawak, Zulhaidah Suboh berkata setiap parti politik yang berdaftar dan memenuhi syarat undang-undang pilihanraya, termasuk calon Bebas yang layak, mempunyai hak untuk menawarkan diri bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.


Menurutnya, tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan hak parti lain atau calon Bebas untuk bertanding hanya disebabkan perbezaan ideologi dan pendirian politik.


"Sarawak bukan hak eksklusif mana-mana parti politik atau individu. Kuasa sebenar menentukan kepimpinan negeri terletak di tangan rakyat melalui peti undi," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, persaingan politik yang sihat seharusnya berlandaskan dasar, integriti, rekod perkhidmatan serta keupayaan calon memperjuangkan kepentingan rakyat.


Katanya, persaingan pilihanraya tidak sepatutnya dicemari sikap ego, ugutan, tekanan atau sentimen bahawa sesebuah kawasan merupakan milik mutlak pihak tertentu.


"Rakyat Sarawak semakin matang dalam menilai kepimpinan. Mereka berhak memilih siapa yang benar-benar mampu membawa perubahan, mempertahankan hak rakyat serta menjamin masa depan negeri," katanya.


Sehubungan itu, Zulhaidah mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses demokrasi, meraikan perbezaan pandangan dan menyerahkan keputusan akhir kepada kebijaksanaan pengundi.


Tegasnya, setiap parti politik mempunyai hak menawarkan kepimpinan dan setiap calon yang layak berhak bertanding, namun kemenangan tetap ditentukan oleh rakyat.


"Parti politik berhak menawarkan kepimpinan, calon berhak bertanding, tetapi rakyat yang menentukan kemenangan," katanya lagi.


Untuk rekod, sejak beberapa bulan lalu parti parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) sering mengingatkan agar Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri ke 13 yang akan diadakan pada bulan Disember.


Hujahnya kerana GPS adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan gabungan itu diperlukan oleh PH untuk membentuk kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page