CSA 2026: Mengapa Pas terima ketika berada dalam kerajaan 2021? – Dr Suhaimi


Pas perlu menjelaskan perbezaan prinsip yang menyebabkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 2021 diterima ketika parti itu berada dalam kerajaan, tetapi Confidence and Supply Agreement (CSA) 2026 pula disifatkan sebagai pendekatan Dajjal.
Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan CSA sebagai “pendekatan Dajjal pada akhir zaman” menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian parti itu terhadap kerjasama politik.
Menurutnya, pada 13 September 2021, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH), ketika Pas menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, antara pemimpin Pas yang menganggotai Kabinet ketika itu ialah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Idris Ahmad.
"Malah Tuan Ibrahim secara terbuka menyambut baik persefahaman itu pada 14 September 2021 atas alasan kepentingan negara ketika pandemik Covid-19.
"Tidak pula ketika itu kerjasama rentas parti digambarkan sebagai pendekatan Dajjal," katanya dalam satu kenyataan.

Suhaimi berkata, empat tahun kemudian, Kerajaan MADANI menandatangani CSA bersama 13 Ahli Parlimen pembangkang, termasuk enam wakil Bersatu, bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan kelancaran urusan Parlimen.
Ujarnya, perjanjian itu turut merangkumi sokongan terhadap urusan penting Parlimen, komitmen peruntukan pembangunan kawasan secara setara serta beberapa agenda reformasi institusi.
Beliau mengakui kedua-dua perjanjian berkenaan isi kandungannya tidak sama sepenuhnya, namun mempunyai matlamat yang boleh dibandingkan, iaitu mewujudkan persefahaman politik bagi memastikan urusan pentadbiran dan Parlimen berjalan secara lebih teratur.
"Justeru, apakah perbezaan prinsip yang menyebabkan pendekatan pada 2021 diterima, tetapi pendekatan pada 2026 diberikan label keagamaan yang begitu berat?" soalnya.
Mengulas hujah Hj Hadi bahawa hasil negara merupakan hak seluruh rakyat dan kerajaan tidak sepatutnya mensyaratkan perjanjian untuk melaksanakan tanggungjawabnya, Suhaimi berkata prinsip itu wajar dihormati.
Bagaimanapun, jelas beliau, CSA bukan semata-mata berkaitan peruntukan sebaliknya turut melibatkan komitmen Parlimen, kestabilan pentadbiran dan reformasi institusi.
"Jika terdapat syarat yang dianggap tidak adil, nyatakan syarat tersebut. Jika terdapat unsur paksaan, jelaskan bagaimana ia berlaku.
"Rakyat berhak mendapat hujah yang boleh diperiksa, bukan sekadar istilah yang mencetuskan emosi," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan bertanggungjawab memastikan peruntukan awam diurus secara adil dan telus, manakala pembangkang pula mempunyai hak untuk mengkritik dasar serta tindakan kerajaan.
Namun, katanya, penggunaan istilah agama yang berat terhadap mekanisme Parlimen memerlukan penghujahan lebih teliti supaya tidak mengelirukan masyarakat.
"Agama mengajar keadilan, amanah dan kejujuran. Nilai tersebut sepatutnya membantu rakyat memahami sesuatu isu, bukan menggantikan penelitian terhadap fakta.
"Persoalan kepada Hj Hadi cukup mudah. Apakah yang salah secara khusus dalam CSA 2026, dan mengapa alasan yang sama tidak digunakan terhadap persefahaman politik ketika Pas berada dalam kerajaan pada 2021?" katanya.
Suhaimi berkata, kritikan politik merupakan hak setiap pihak, namun konsistensi prinsip adalah tanggungjawab setiap pemimpin.




Comments