Deepavali perkukuh perpaduan masyarakat majmuk Selangor – Amirudin


Sambutan Deepavali bukan sahaja membawa mesej kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perayaan itu turut membawa makna penghijrahan rohani ke arah kehidupan yang lebih mulia.
Katanya, Deepavali merupakan antara perayaan yang dinanti-nantikan di Selangor, khususnya oleh komuniti Hindu dan Sikh.
"Deepavali merupakan salah satu perayaan yang dinanti-nantikan di Selangor, terutamanya bagi komuniti Hindu dan Sikh.
"Mereka meraikan peringatan simbolik cahaya mengatasi kegelapan atau kejahatan, dan berikhtiar berhijrah secara rohani ke tahap yang lebih mulia," katanya menerusi perutusan sempena sambutan Deepavali.
Menurut Amirudin, bagi masyarakat Selangor, perayaan itu turut mencerminkan semangat kebersamaan serta mengukuhkan hubungan dalam masyarakat majmuk.
Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, komuniti India di Selangor akan terus dibela dan diperkasa menerusi pelbagai program serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap sambutan Pesta Cahaya tahun ini membawa kekuatan, kesejahteraan dan kasih sayang kepada seluruh masyarakat yang meraikannya.
"Semoga keraian Pesta Cahaya kali ini membawa kekuatan, kesejahteraan dan kasih sayang di dalam kehidupan," katanya.
Amirudin turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat beragama Hindu di Selangor.




Comments