Saman MP Pas ditarik balik: 'Sampai di mahkamah, setiap perkataan ada harga'


Kemelut saman fitnah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen (MP) Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, berakhir selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas penyelesaian itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar) berkata, apabila sesuatu kenyataan diuji di mahkamah, akhirnya ia perlu dipertanggungjawabkan.
"Hari ini kita belajar satu perkara mudah dalam politik (iaitu) bercakap itu mudah. Menuduh itu lebih mudah, tetapi apabila sampai ke gelanggang undang-undang, setiap perkataan ada harga dan tanggungjawabnya.
"Kenyataan yang dibuat dengan penuh keyakinan, akhirnya ditarik balik dan dipersetujui untuk tidak diulang atau diterbitkan semula.
"Politik boleh berbeza, kritik boleh berbeza, tetapi jangan sampai kebenaran dijadikan mangsa," katanya dalam muat naik di media sosial.
Saman fitnah Anwar terhadap Awang Solahuddin itu berhubung kenyataan Awang yang didakwa Anwar bermaksud beliau bersifat pendendam dan menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, untuk mencapai agenda politik peribadi.
Kedua-dua pihak mencapai persetujuan menyelesaikan tuntutan saman berkenaan selepas Awang Solahuddin bersetuju menarik balik segala kenyataan yang dibuat olehnya di lobi Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu turut bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan sama atau yang mempunyai maksud yang serupa pada masa hadapan.
Dipetik laporan Bernama, pada 3 Mac 2023, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan berunsur fitnah yang dibuat oleh defendan di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Feb 2023.
Menurut Anwar, kenyataan itu yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.
Beliau berkata kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa..




Comments