Saingan PH semakin sengit, meluas punca DUN Johor dibubar - Dr Zaliha
- Hasbul Ahmad

- 60 minutes ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) Johor percaya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan semata-mata didorong faktor keyakinan kemenangan Barisan Nasional (BN), sebaliknya kerana gabungan itu melihat saingan semakin sengit daripada PH.
Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata perkembangan semasa menunjukkan PH semakin tersusun dan berjaya memperkukuh gerak kerja serta penyampaian mesej kepada rakyat, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak lawan.
Menurut beliau, jika tempoh pentadbiran diteruskan lebih lama, PH berpotensi memperluaskan lagi pengaruh dan sokongan rakyat menerusi pelbagai program serta usaha mendekati pengundi di peringkat akar umbi.
"Pada pandangan saya, tentu ada sebab yang lebih besar di sebalik keputusan ini. Apa yang saya nampak, Pakatan Harapan sebenarnya sedang memberikan saingan yang agak sengit dan kuat kepada UMNO-BN.
"Mereka mungkin begitu yakin untuk menang, tetapi tindakan membubarkan DUN dalam keadaan seperti ini adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Saya percaya ia berkait rapat dengan perkembangan yang berlaku di pihak kita," kata Dr Zaliha dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.
Beliau berkata, peningkatan momentum PH serta kemampuan gabungan itu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan kepada rakyat mungkin menjadi faktor yang merisaukan BN sehingga mendorong mereka mendapatkan mandat baharu lebih awal.
Bagaimanapun, beliau menegaskan KEADILAN dan PH sudah bersedia menghadapi PRN Johor walaupun tempoh persiapan yang ada agak singkat.
"Kita tetap akan lawan dan memastikan kemenangan. Saya melihat momentum sokongan itu sudah ada dan ia perlu diteruskan.
"Walaupun masa yang ada singkat, kita akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan KEADILAN dan Pakatan Harapan," katanya.
Mengulas kepentingan PRN Johor, Dr Zaliha menyifatkan pilihanraya tersebut sebagai medan penting yang bakal menjadi penanda aras kepada beberapa siri pilihanraya lain termasuk di Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak, selain memberi kesan kepada landskap politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, Johor merupakan negeri pertama di Semenanjung yang bakal berdepan PRN dalam kitaran politik semasa dan keputusan yang dicapai akan memberi isyarat penting kepada pengundi di seluruh negara.
"Pilihanraya kali ini sangat penting kerana kita sedang menuju ke pilihan raya umum. Johor perlu memberikan momentum yang baik dan menunjukkan bahawa KEADILAN mampu mencatat pencapaian yang lebih baik daripada sebelum ini.
"Jika kita berjaya meningkatkan jumlah kerusi dan menunjukkan keupayaan mentadbir dengan lebih baik, ia akan menjadi momentum kepada Negeri Sembilan, Melaka dan mungkin juga Sarawak, sebelum membawa kesan yang lebih besar kepada pilihan raya umum," katanya.
Beliau berkata, kejayaan PH di Johor akan mewujudkan kesan berantai yang mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap gabungan itu di peringkat nasional.
Menurutnya, momentum kemenangan yang berterusan bukan sahaja penting untuk memperkukuh kedudukan PH, malah bagi memastikan agenda reformasi dan pembangunan negara dapat diteruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Yang paling penting, jika momentum itu berterusan sehingga pilihan raya umum, ia akan memberikan kesan besar kepada masa depan negara dan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang ada," katanya.




Comments