top of page

Akta 342 Zalim Jika Kompaun Lebih RM1,000 Kepada Orang Awam

Updated: Dec 21, 2021



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Pada hari ini 20 Disember 2021 akan dibentangkan untuk bacaan Kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, ringkasnya disebut RUU Pindaan Akta 342.


Perbahasan dan pengundian akan diadakan pada hari ini. Sama ada RUU Pindaan Akta 342 ini diluluskan atau sebaliknya akan diputuskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang hadir.


Terdapat tiga fasal yang kontroversi berkenaan RUU Pindaan Akta 342 ini, iaitu berkaitan Fasal 9, Fasal 10 dan Fasal 11.


Fasal 9, berkaitan Seksyen 24(a) dengan mengadakan peruntukan bagi penalti am bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 342.


Denda RM100,000 terlalu berat


Pindaan asal Seksyen 24(a) seseorang individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 7 tahun atau kedua-duanya.


Apabila Seksyen 24(a) ini dibantah oleh rakyat maka Kerajaan meminda pula dari RM100,000 kepada RM50,000. Hukuman penjara dipinda dari 7 tahun kepada 3 tahun.


Apabila rakyat masih membantah hukuman di bawah Seksyen 24(a) itu, Kerajaan kemukakan pindaan sekali lagi.


Teks pindaan terakhir yang diterima oleh Ahli-ahli Parlimen pada Khamis 16 Disember 2021 bagi Seksyen 24(a) ialah denda RM100,000 diturunkan kepada RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun.


Saya berpendirian berkenaan penalti ke atas diri individu hukuman denda mesti dikurangkan lagi kepada RM1,000. Tempoh penjara juga mesti dikurangkan lagi supaya tidak melebihi satu tahun.


Jika Kerajaan pada hari ini bersetuju penalti bagi Seksyen 24(a) ialah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, maka RUU Pindaan Akta 342 wajar disokong.


Tafsiran pertubuhan, syarikat tidak jelas


Bagi Seksyen 24(b) yang berkaitan sesuatu pertubuhan perbadanan (a body corporate) perlu diberi tafsiran yang jelas.


Apa yang dimaksudkan dengan pertubuhan perbadanan? Adakah ia hanya tergolong kepada syarikat-syarikat awam yang tersenarai dalam bursa saham (public listed companies)?


Adakah ia juga termasuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)?


Ini perlukan penjelasan dari Kerajaan sebab hukuman denda RM2 juta itu tinggi. Jika hukuman Tinggi itu dikenakan kepada syarikat-syarikat besar yang mengaut untung berbilion-bilion ringgit tetapi masih melakukan kesalahan di bawah Akta 342 maka memang wajar syarikat-syarikat besar itu dihukum dengan denda yang berat.


Tetapi denda sehingga RM2 juta adalah zalim jika dikenakan ke atas syarikat-syarikat kecil dan sederhana.


Kompaun RM1,000 wajar disokong


Berkenaan Fasal 10 merujuk kepada kesalahan yang boleh dikompaun berkaitan Seksyen 25 (a) dan 25(b).


Teks pindaan terakhir dari Kerajaan ialah Kerajaan mengalah apabila menerima tentangan kuat dari rakyat.


Kompaun bagi diri individu akhirnya dipinda lagi dari RM10,000 kepada RM1,000 (seperti asal atau status quo).


Pada pandangan saya kompaun kesalahan di bawah Akta 342 di bawah Seksyen 25(a) sebanyak tidak melebihi RM1,000 wajar disokong.


Sekurang-kurangnya Kerajaan mengalah terpaksa akur dengan bantahan rakyat dan bersetuju kurangkan kompaun dari RM10,000 yang zalim dan drakonian itu kepada kompaun asal tidak melebihi RM1,000.


Manakala di bawah pindaan Seksyen 25(b) kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan dipinda juga dari pindaan asal kompaun tak melebihi RM1 juta kepada kompaun tidak melebihi RM500,000.


Saya berpendapat sekiranya tafsiran pertubuhan perbadanan ini adalah tergolong kepada syarikat-syarikat besar, bukannya syarikat-syarikat kecil dan sederhana maka kompaun tidak melebihi RM500,000 itu adalah wajar dan perlu disokong.


Tidak wajar kompaun dikurangkan lagi ke atas syarikat-syarikat besar yang mengaut untung besar tetapi tetap ingkar melanggar Akta 342 ini yang bertujuan untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.


Jangan beri kuasa sewenang sewang kepada Menteri


Berkenaan Fasal 11 yang berkait pindaan ke atas Seksyen 31 saya berpendapat Menteri Kesihatan tidak boleh diberi kuasa sewenang-wenang tanpa kelulusan Parlimen untuk membuat peraturan subseksyen (3) yang memberi kuasa kepada Menteri menentukan penalti sehingga RM1,500 atau penjara sehingga 2 tahun di bawah Seksyen 31(3) (a) bagi kesalahan diri individu.


Begitu juga Parlimen tidak boleh memberi kuasa sewenang-wenang kepada Menteri Kesihatan menentukan sendiri melalui kuasanya membuat peraturan dengan pindaan subseksyen 31(3)(b) iaitu mengenakan penalti sehingga RM1 juta kepada pertubuhan perbadanan.


Saya berpendirian kuasa menentukan hukuman, denda atau penaliti mesti ditentukan oleh Parlimen bukannya diserah kepada Menteri Kesihatan membuatnya sendiri atas nama peraturan di bawah Akta.


_________________________________________________________________________________


Artikel ini merupakan pendirian Peribadi Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page