Rundingan tingkat pemberian khas Sarawak diteruskan - Anwar
- Helmi Mohd Foad

- Jun 30
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata rundingan bagi meningkatkan kadar pemberian khas interim kepada Sarawak masih dibincangkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Perdana Menteri berkata, perbincangan itu sedang berjalan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak susulan peningkatan kadar interim pemberian khas Sabah kepada RM1.5 bilion berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kerajaan akan memastikan perkara itu dimuktamadkan dalam tempoh yang sewajarnya selepas rundingan selesai.
"Kita masih meneruskan perundingan dengan Sarawak dan dalam perundingan terkini dengan Premier baru-baru ini di Bintulu dan Kuching memang kita tidak umumkan kerana kita nak beri tumpuan kepada RM1.8 bilion ringgit yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (Sri Aman-GPS) yang bertanya sama ada Kerajaan Persekutuan turut bercadang menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak seperti yang dilakukan terhadap Sabah.
Doris turut memohon penjelasan sama ada Sarawak berhak menerima pemberian khas berdasarkan sebahagian hasil yang dikutip dari negeri itu.
Sebelum mengemukakan soalan tambahan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak serta penyerahan cek RM1.8 bilion oleh Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam mengiktiraf kedudukan Sarawak serta pelaksanaan MA63.
Terdahulu dalam jawapannya, Anwar berkata kadar interim Sabah dibuat berdasarkan persefahaman dalam MA63 dan beberapa siri rundingan telah berlangsung antara kedua-dua pihak.
Katanya perkembangan penyerahan RM1.8 bilion oleh Sarawak merupakan perkara bersejarah kerana ia berlaku buat kali pertama melibatkan sebuah kerajaan negeri menyerahkan wang tunai kepada Kerajaan Persekutuan.
"Ini adalah rekod dalam sejarah kerana ini adalah kali pertama satu Kerajaan Negeri menyerahkan wang tunai dan dia bagi cek tunai kepada saya," katanya.
Anwar berkata rundingan berkaitan Sarawak akan diteruskan dan peningkatan pemberian khas adalah wajar berdasarkan semangat MA63.
"Rundingan telah diadakan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak," katanya.




Comments