top of page

Rundingan "sulit" dengan Pas, UMNO ragui kekuatan 'solo' di Johor?

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Rundingan politik antara UMNO dan Pas yang didakwa kembali berlaku menunjukkan parti berteras Melayu itu berada dalam keadaan “cemas dan lemas” dalam menghadapi gelombang perubahan pengundi di Johor, demikian kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.


Beliau berkata pengakuan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa wujud rundingan rasmi antara kedua-dua parti itu menimbulkan persoalan terhadap keyakinan UMNO terhadap kekuatan sendiri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


"Jika benar UMNO begitu yakin dengan kekuatannya, mengapa perlu membuka rundingan dengan Pas?


"Jika benar sokongan rakyat kepada UMNO begitu kukuh, mengapa perlu mengharapkan arahan Pas supaya ahli-ahlinya mengundi BN di kawasan tertentu?" katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz berkata tindakan itu memberi gambaran bahawa UMNO tidak cukup yakin untuk mempertahankan sokongan rakyat tanpa bantuan Pas.


Beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian politik antara kedua-dua parti yang sebelum ini sering berbalas kritikan.


"Lebih menghairankan Pas sering kali menyerang UMNO dengan berbagai-bagai label, UMNO dikelilingi bisikan syaitan, ada keruh, rumah hantu, UMNO pengkhianat dan berbagai gelaran buruk yang diberikan pada UMNO.


"Kini apabila berdepan cabaran politik, UMNO sanggup menjilat segala tuduhan demi mendapatkan undi," katanya.


Mahfuz berkata UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat Johor sama ada slogan bertanding secara solo masih menjadi pendirian parti itu atau sekadar retorik politik.


"Adakah UMNO sudah hilang keyakinan sehingga perlu mengharapkan undi daripada penyokong Pas?


"Adakah slogan bertanding solo hanya tinggal slogan apabila pada masa yang sama sokongan Pas dicari?" katanya.


Beliau mendakwa UMNO kini bukan sekadar meminta mandat daripada rakyat sebaliknya dilihat sedang mencari sokongan daripada pihak lain untuk meneruskan kelangsungan politik.


"UMNO bukan lagi meminta mandat rakyat semata-mata, tetapi dilihat sedang mencari talian hayat daripada Pas," katanya.


Menurut Mahfuz, rakyat Johor berhak mengetahui kedudukan sebenar hubungan politik antara UMNO dan Pas sekiranya rundingan tersebut sedang berlaku.


"Mengapa tidak berterus terang kepada rakyat bahawa hubungan politik dengan Pas sedang dipulihkan?


"Rakyat Johor bukan mudah diperdaya. Jika UMNO benar-benar yakin dengan kekuatannya, buktikan di peti undi tanpa bergantung kepada arahan parti lain," katanya.


Beliau berkata pilihanraya bukan sekadar pertandingan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan melalui rundingan politik tetapi perlu berasaskan mandat rakyat, dasar, prestasi dan integriti.


"Pilihanraya bukan pertandingan mencari siapa paling banyak ‘meminjam undi’. Ia pertandingan mendapatkan mandat rakyat berdasarkan dasar, prestasi dan integriti," katanya.


Mahfuz berkata UMNO perlu memberi penjelasan mengapa sebuah parti yang mendakwa kukuh dan stabil kini dilihat membuka ruang rundingan dengan parti yang sebelum ini menjadi pesaing politik.


"Rakyat Johor mahukan kepimpinan yang yakin dengan mandat rakyat, bukan kepimpinan yang dilihat bergantung kepada ihsan pihak lain untuk terus berkuasa," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page