Rundingan damai Thai–Kemboja: Pembangkang hanya pandai fitnah peranan PMX
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Tuduhan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) gagal dalam rundingan mendamaikan Thailand dan Kemboja berikutan perkembangan terbaharu konflik di sempadan kedua dua negara itu merupakan fitnah pembangkang yang tidak senang dengan pujian antarabangsa atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 bulan lalu.
Bagi aktivis KEADILAN, Zainurizzaman Moharam, dakwaan yang dibuat peguam Tun Mahathir, Rafique Rashid, Papagomo dan beberapa pihak lain pro pembangkang kebelakangan ini kononnya PMX gagal menjalankan peranan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi ASEAN adalah mengarut.
Katanya, penggantungan teknikal terhadap deklarasi damai akibat insiden yang mencederakan tentera Thailand di sempadan bukan bermakna penggantungan perjanjian.
Sebaliknya, beliau bertanya, apakah yang dilakukan oleh PM terdahulu kerana konflik tersebut bukan berlaku baru baru ini, sebaliknya sejak 2008.
"Konflik sempadan itu telah berlarutan sejak 2008 dan tidak bermula bukan bermula zaman Anwar," jelasnya.
Malaysia pula, kata Zainurizzaman, hanyalah pemudahcara dalam deklarasi, bukannya menentukan hala tuju perundingan.

"Malaysia sekadar menjadi fasilitator dalam proses rundingan tersebut. Tidak timbul soal mana-mana pihak mendakwa memiliki perjanjian itu," katanya.
Manakala laporan menyebut dua Perdana Menteri (Thailand dan Kemboja) enggan mengiktiraf dokumen berkenaan sebagai perjanjian adalah tepat kerana dokumen tersebut memang bukan sebuah perjanjian damai rasmi.
"Ya. Itu peringkat pertama ke arah perjanjian damai penuh. Semua proses damai dunia bermula dengan deklarasi, bukan terus treaty. Cuba tanya Oslo Accord, Camp David, Good Friday Agreement, semua mula dengan deklarasi," jelasnya.
Tidak timbul, kata beliau PMX 'gagal' sebagaimana digembar gemburkan pembangkang.
Zainurizzaman juga hairan bagaimana pembangkang boleh timbulkan isu surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak menyebut nama Anwar berhubung konflik tersebut, sedangkan surat itu dihantar jauh lebih awal daripada rundingan di Kuala Lumpur.
"Sudah tentu tak sebut (nama Anwar) sebab itu surat rasmi permohonan mesyuarat tergempar. Hanya budak baru belajar undang-undang antarabangsa saja fikir surat PBB kena letak nama semua orang yang terlibat," katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa langkah Thailand mengadakan rundingan dua hala dengan Kemboja selepas menandatangani deklarasi Kuala Lumpur adalah perkembangan positif.
Berkenaan dakwaan kononnya kehadiran tokoh luar seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bercanggah dengan prinsip ASEAN, Zainurizzaman mengingatkan pembangkang bahawa kehadiran Trump hanya sebagai pemerhati, bukan menentukan isi kandungan deklarasi.
"Trump bukan campur tangan, dia hadir sebagai pemerhati khas atas jemputan ASEAN. Lain kali, kalau nak kritik, sekurang-kurangnya baca protocol note dulu," sinisnya.
Begitu juga dakwaan bahawa Presiden Indonesia ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) mengkritik Malaysia dalam isu berkenaan.
Kata Zainurizzaman, SBY hanya menekankan keperluan ASEAN mengekalkan autonomi. Kenyataannya telah dipetik secara separuh jalan dan sengaja disalah tafsirkan oleh pembangkang Malaysia.
Begitu juga dakwaan kononnya PMX telah gagal total dalam isu perjanjian damai dan Pengerusi ASEAN adalah tidak tepat, sebaliknya rekod menunjukkan kemajuan dalam hubungan serantau.
"Dalam masa setahun Anwar dah buka semula hubungan dagang ASEAN–Gulf, hidupkan inisiatif BIMP–EAGA, dan jadi mediator pertama yang diterima kedua-dua pihak. Bawa masuk Timur Leste dalam ASEAN," katanya.
Kalau kejayaan sebesar itu dianggap kegagalan, maka apakah yang boleh dianggap kejayaan?.





