Rumah ibadat: Hormati kedaulatan undang-undang, elak jadi isu perkauman
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Prinsip kedaulatan undang-undang mestilah dihormati semua pihak tanpa mengira agama atau kaum berhubung isu pembinaan rumah ibadat yang sedang diperkatakan kebelakangan ini.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Simpang Renggam, Navinraj Krishnan (gambar) berkata, sekiranya sesuatu tanah itu bukan milik sendiri atau tidak mendapat kebenaran sah daripada pihak berkuasa maka sebarang pembinaan termasuklah rumah ibadat seperti kuil tidak seharusnya diteruskan.
"Sebagai seorang penganut Hindu, saya memahami bahawa kuil adalah tempat ibadat yang suci dan penting kepada penganutnya. Namun pembinaan kuil hendaklah dibuat di atas tanah yang sah milik sendiri serta melalui proses dan kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kita tidak boleh membina di atas tanah yang bukan hak kita," kata beliau dalam satu kenyataan.
Navinraj menegaskan bahawa isu tersebut perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan tadbir urus, bukannya dijadikan bahan untuk memecahbelahkan masyarakat majmuk.
"AMK Simpang Renggam menolak sebarang cubaan untuk memanipulasi isu ini menjadi isu perkauman atau sentimen kebencian. Isu ini perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan tadbir urus, bukan dijadikan bahan untuk memecahbelahkan masyarakat majmuk negara ini," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar sebarang serangan dan provokasi di media sosial hendaklah dihentikan segera, khususnya kenyataan berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian negara.
"Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang perlu terus dipelihara semangat perpaduannya. Sekiranya terdapat pelanggaran atau isu berkaitan status tanah, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang," ujarnya.
Menurut Navinraj lagi, setiap rumah ibadat perlu dibina secara sah dan teratur supaya tidak menimbulkan polemik pada masa hadapan.
"Kita jaga agama kita dengan cara yang berhemah, mematuhi undang-undang dan menghormati hak semua pihak. Jangan beri ruang kepada mana-mana pihak untuk memutarbelitkan fakta atau menuduh secara melulu dalam pelbagai aspek. Semua pihak perlu bersikap matang dan bertanggungjawab dalam menangani isu ini.
"Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak bermuhasabah dan bertindak dengan rasional demi kebaikan bersama," katanya.
Tegas beliau, semua pihak mahukan penyelesaian yang adil, matang dan berprinsip dalam isu rumah ibadat ini demi keharmonian masyarakat di Malaysia.




Comments