Siasatan ke atas Azam Baki hampir selesai, laporan lengkap minggu depan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Siasatan Jawatankuasa Khas terhadap isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kini hampir selesai dengan laporan lengkap dijangka dibentangkan minggu hadapan.
Perkara berkenaan dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, Jemaah menteri telah membincangkan dengan mendalam isu-isu berkaitan dakwaan pemilikan saham Azam Baki dan dakwaan penyalahgunaan institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat.
"Dalam isu dakwaan pemilikan saham Azam Baki, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Siasatan yang diketuai Peguam Negara hampir selesai proses siasatan dan akan menyerahkan laporan pada minggu hadapan.
"Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis sudah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan pada kadar segera untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
"Jemaah Menteri sudah bersetuju bahawa isu-isu ini amat serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
"Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan-tindakan susulan, termasuk keperluan pelaksanaan penubuhan RCI," katanya.
Menurut laporan media sebelum ini, Azam Baki didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Untuk itu kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham tersebut yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.




Comments